JUADAH pasta pedas ayam dan cendawan yang siap dimasak. FOTO: Ihsan Ezel Omar
JUADAH pasta pedas ayam dan cendawan yang siap dimasak. FOTO: Ihsan Ezel Omar
Hafiz Ithnin

SEBAIK saja si ibu pulang ke rumah dari pejabat, pasti merasa letih untuk memasak. Bagaimanapun perut ahli keluarga masih perlu diisi. Hendak beli di luar, ahli keluarga juga ramai dan risau juga jika masakan itu tidak kena selera.

Situasi seperti ini mungkin berlaku kepada segelintir ibu yang bekerjaya, tetapi masih ingin menyediakan hidangan terbaik untuk ahli keluarga mereka. Apatah lagi jika mempunyai ahli keluarga yang besar. Lebih ekonomi jika masak sendiri di rumah.

Justeru, penulis bertemu dengan bekas pemilik Kafe Terbangpagi yang begitu sinonim dengan masakan baratnya, Ezel Omar yang sudi berkongsi hidangan resipi pasta pedas ayam dan cendawan yang boleh dihidangkan untuk lima atau enam orang.

Ezel berkata, resipi itu amat mudah untuk dimasak dan mengambil masa hanya lebih kurang setengah jam sahaja untuk menyiapkannya. Begitu sesuai untuk ibu yang bekerja.

"Walaupun ia adalah masakan barat tetapi saya sudah ubah suai dan menjadikannya lebih kepada cita rasa Asia iaitu dengan menambahkan kepedasan. Bagaimanapun, ia sesuai untuk dimakan seisi keluarga.

"Selain itu, ia juga tidak mengandungi krim kerana boleh dikatakan masakan pasta barat selalunya berkrim. Tambahan lagi, hidangan pasta pedas ayam dan cendawan ini sesuai untuk mereka yang tidak meminati masakan berkrim," katanya.

Di sini dikongsikan resipi pasta pedas ayam dan cendawan yang sangat istimewa untuk anda praktikkan jika sudah jemu dengan nasi berlauk. Siapa tahu, mungkin hidangan ini akan menjadi kegemaran baharu seisi rumah.

ANTARA bahan-bahan diperlukan untuk memasak pasta pedas ayam dan cendawan. FOTO: Ihsan Ezel Omar
ANTARA bahan-bahan diperlukan untuk memasak pasta pedas ayam dan cendawan. FOTO: Ihsan Ezel Omar

Bahan-bahan:

1) Isi ayam - 1 mangkuk

2) 2 peket cendawan shimeji

3) Tomato ceri - satu mangkuk kecil, dibelah dua

4) Sos tiram - 4 sudu besar

5) Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:

1) Bawang holland sebiji setengah

2) Bawang putih 15 ulas

3) Cili merah 10 tangkai

4) Cili padi ikut kesesuaian kepedasan

PASTA untuk hidangan ringkas menyelerakan. FOTO: Ihsan Ezel Omar
PASTA untuk hidangan ringkas menyelerakan. FOTO: Ihsan Ezel Omar

Cara-cara:

1) Tumis bahan kisar dengan minyak jagung hingga naik bau.

2) Masukkan potongan isi ayam.

3) Masukkan cendawan shimeji.

4) Masukkan sos tiram dan kacau rata.

5) Masukkan garam dan gula.

Jika terlalu pekat boleh tambah sedikit air panas.

Siap untuk dinikmati! Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:30 AM