MAHIZAD bersama menu dakgangjeong yang disediakannya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MAHIZAD bersama menu dakgangjeong yang disediakannya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Siti Zarinah Sahib

DEMAM Korea Selatan di Malaysia tidak hanya mempengaruhi penggemar muzik dan filem sebaliknya turut dirasai pencinta masakan tradisional negara itu. Rasanya yang enak dan menepati cita rasa masyarakat di negara ini membuatkan apa sahaja menu masakan diperkenalkan mendapat perhatian. Antaranya kimchi dan dakgangjeong yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

Dakgangjeong atau dikenali sebagai ayam gangjeong disukai ramai disebabkan rasa rangup, pedas dan manis yang hampir sama dengan cita rasa rakyat Malaysia.

Menurut Cef Eksekutif Hotel RHR Kajang, Cef Mahizad Mansor, disebabkan menu ini begitu diminati membuatkan ia diperkenalkan sebagai hidangan utama di sini.

"Dalam menu ini, ayam dipotong kecil dan dibuang tulangnya. Namun boleh juga menggunakan kepak ayam tanpa membuang tulangnya. Sama seperti ayam goreng isi ayam dibaluti tepung dan digoreng hingga rangup," katanya.

Menerangkan lebih lanjut jelas Mahizad, dalam bahasa Korea 'dak' bermaksud ayam manakala 'gangjeong' adalah bumbu pedas manis yang melekat pada ayam.

"Untuk menghasilkan sos pedas manis ini memerlukan bahan utama seperti pes cili Korea yang membuatkan rasanya pedas dan manis. Selain itu madu menjadikan sos pekat dan manis. Untuk mengekalkan kerangupan taburkan kekacang dan bijan sebaik saja siap digaul dengan sosnya," katanya.

Jika dulu ayam dakgangjeong hanya dijual di restoran masakan Korea tetapi sebenarnya ia boleh disediakan sendiri tanpa belanja yang besar. Memasak sendiri juga memastikan kebersihan lebih terjamin.

"Apa yang penting adalah campuran cili merah, cuka dan jeruk dalam sos yang menimbulkan rasa pedas serta manis. Hidangan ini sesuai dimakan bersama roti span dan kimchi serta boleh dijadikan hidangan tengah hari atau kudapan minum petang," kata Mahizad.

1. BAHAN untuk dakgangjeong sos pedas Korea, kimchi, roti span, daun bawang, bijan, ayam yang sudah digoreng dan sayuran sebagai hiasan.
1. BAHAN untuk dakgangjeong sos pedas Korea, kimchi, roti span, daun bawang, bijan, ayam yang sudah digoreng dan sayuran sebagai hiasan.

2. PANASKAN kuali masukkan sos pedas Korea dan kacau.
2. PANASKAN kuali masukkan sos pedas Korea dan kacau.

3. MASUKKAN ayam yang sudah digoreng dan kacau sehingga sebati.
3. MASUKKAN ayam yang sudah digoreng dan kacau sehingga sebati.

4. ANGKAT ayam sekiranya sos bersalut pekat pada ayam, kemudian letakkan bersama roti span.
4. ANGKAT ayam sekiranya sos bersalut pekat pada ayam, kemudian letakkan bersama roti span.

5. TABURKAN bijan dan daun bawang.
5. TABURKAN bijan dan daun bawang.

6. AKHIR sekali tabur sayur-sayuran.
6. AKHIR sekali tabur sayur-sayuran.

Dakgangjeong:

(Ayam goreng pedas Korea)

Bahan-bahan:

• 1kg paha ayam tanpa tulang (diperap bersama bawang putih, halia, lada sulah, garam, minyak biji, kicap cair dan telur)

• 200 gram (g) tepung jagung digaul kering bersama ayam

Sos pedas Korea (Ghocujang):

• 150g minyak masak

• 30g minyak bijan

• 30g bawang putih

• 20g halia muda

• 30g cili padi

• 30g serbuk cili

• 300g pes cili Korea

• 15g serbuk cili kasar

• 50g gula kasar

• 200 g madu

• 100g gula perang

• 100 ml kicap cair

• 10ml cuka makan

Cara menyediakan:

1. Kisar kering bawang, halia dan cili padi.

2. Panaskan minyak dan tumis bahan dikisar. Masukkan pes cili Korea, serbuk cili (bancuh air) dan serbuk cili kasar sehingga pecah minyak.

3. Masukkan kicap cair, cuka, madu, gula perang, gula kasar dan minyak bijan. Kacau lagi hingga kering.

4. Masukkan ayam goreng tadi ke dalam sambal kering ini dan gaul rata.

5. Taburkan biji bijan dan daun bawang semasa dihidangkan. Ia boleh dihidangkan bersama roti span (mantao) dan kimchi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 9:32 AM