WANITA sering dipersalahkan
WANITA sering dipersalahkan
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Memiliki cahaya mata sememangnya menjadi impian setiap ibu bapa.

Namun, diakui kehamilan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ada pasangan terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya dan ada yang perlu berkorban ribuan ringgit menjalani rawatan semata-mata untuk memiliki zuriat sendiri.

Bagaimanapun, masalah ketidaksuburan sering kali ditunding kepada wanita namun tahukah anda bahawa kes ketidaksuburan dalam kalangan lelaki juga sebenarnya semakin meningkat?

Menurut kajian yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tahap kesuburan dalam kalangan lelaki di bawah umur 30 tahun menurun sebanyak 15 peratus dari tahun 2010 hingga 2019.

Faktor lelaki juga turut menyumbang sehingga 30 peratus daripada kes-kes ketidaksuburan.

Pakar Perunding Kesuburan, Obstetrik dan Sakit Puan, Velocity Sunway Medical Centre, Dr Farah Leong Rahman berkata, masalah ketidaksuburan menjejaskan satu daripada tujuh pasangan.

Kata Dr Farah, sesetengah kes berpunca daripada faktor kekurangan proses ovulasi biasa, ia biasanya berlaku kepada pesakit wanita yang mengalami masalah ovari polisistik, tiub fallopian tersekat atau rosak, dan†endometriosis.

Manakala bagi golongan lelaki pula, kata Dr Farah, ia membabitkan kualiti air mani yang rendah.

"Walaubagaimanapun, dalam satu perempat daripada kes-kes terbabit, ada yang tidak mungkin sama sekali untuk dikenal pasti punca sebenar mengapa masalah ketidaksuburan berlaku.

"Untuk kes sedemikian kami melabelkannya sebagai 'ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan," katanya.

Menurut Dr Farah, ia bukanlah pengakhiran kepada pasangan memandangkan sesetengah daripada punca itu boleh ditangani dengan membuat perubahan yang mudah tetapi efektif dalam gaya hidup mereka.

Katanya, amalan diet yang sihat dan seimbang adalah penting untuk mengekalkan badan supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Selain itu, tabiat merokok dan meminum arak juga harus dihentikan atau sebaiknya tidak diamalkan langsung.

"Kerap bersenam dan mengekalkan berat badan yang ideal juga banyak membantu.

"Apapun, adalah penting untuk berjumpa doktor terlebih dahulu bagi memastikan sebarang masalah perubatan sedia ada seperti penyakit kencing manis dirawat dan berada di bawah kawalan jika pasangan mahu mencuba mendapatkan sebarang bentuk rawatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Untuk kes yang agak kurang bernasib baik di mana pasangan masih tidak berjaya hamil selepas setahun, Dr Farah mencadangkan mereka berjumpa doktor kesuburan bagi mengorak langkah seterusnya.

Beliau berkata, wanita berusia 35 tahun ke atas juga perlu berjumpa dengan doktor kesuburan kerana kadar kesuburan semakin berkurangan seiring dengan peningkatan usia.

KERAP bersenam dan mengekalkan berat badan yang ideal juga dapat membantu menangani masalah ketidaksuburan.
KERAP bersenam dan mengekalkan berat badan yang ideal juga dapat membantu menangani masalah ketidaksuburan.

Katanya, dengan peningkatan umur, ovari mempunyai bilangan telur yang semakin berkurangan untuk ditawarkan dan mungkin mempunyai kualiti lebih rendah.

"Penting juga untuk mengambil perhatian faktor lain termasuk sama ada pesakit itu pernah menjalani sebarang rawatan atau prosedur yang mungkin mengakibatkan masalah ketidaksuburan seperti rawatan kanser atau pembedahan berkaitan dengan organ reproduktif wanita seperti pembuangan tiub fallopian, memandangkan semua itu boleh memberi kesan ke atas kadar kesuburan.

"Doktor biasanya akan menjalankan ujian hormon darah untuk wanita, salah satunya dikenali sebagai 'Hormon Anti-Mullerian' yang membantu dalam menganggarkan berapa banyak telur wanita itu ada dalam simpanan.

"Selain itu, ujian kehamilan tubal patency adalah untuk memeriksa sekiranya tiub fallopian wanita terbabit tersekat atau tidak. Untuk lelaki pula, ujian air mani adalah perlu bagi membolehkan doktor melihat pada bilangan, motiliti dan bentuk air mani berkenaan," katanya.

Jelas Dr Farah lagi, lelaki dengan sejarah testis yang tidak turun, masalah dengan pembangunan akil baligh, pembedahan atau jangkitan genital sebelum ini, masalah kesuburan dalam hubungan semasa atau sebelum ini, masalah dengan ereksi atau ejakulasi adalah dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor kesuburan.

Saran beliau, adalah lebih baik jika pasangan hadir bersama ketika sesi perundingan dijalankan, memandangkan doktor akan bertanya soalan untuk mengenali pasangan dengan lebih dekat demi membantu mereka.

Kata Dr Farah lagi, doktor juga akan menjalankan satu prosedur ultrasound untuk memeriksa rahim dan ovari dan jika sudah mempunyai sebarang hasil ujian yang dijalankan sebelum ini, keputusan itu perlu dibincang bersama.

"Perbincangan menyeluruh akan diadakan dan ujian kesuburan ditawarkan jika ianya masih belum dilakukan.

"Namun, pilihan rawatan mungkin berbeza untuk setiap pasangan bergantung kepada masalah sedia ada dan perbincangan yang diadakan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Farah berkata, pasangan yang menghadapi kesukaran dalam menghasilkan kehamilan mungkin akan melalui masalah keletihan emosi dan mental yang melampau. Sesetengah dari mereka mungkin mengalami kemurungan, kitaran kekecewaan yang berulang-ulang, kemarahan atau kehilangan har

ga diri.

Dalam hal itu, Dr Farah menekankan kepentingan memberi dan menerima sokongan, terutama dari satu sama lain, ahli keluarga serta rakan-rakan.

Katanya, adalah penting untuk berlaku jujur mengenai perasaan anda dan mampu untuk meluahkannya dalam satu cara yang betul.

"Terdapat juga kumpulan sokongan di luar sana dan kaunselor yang sedia menolong jika memerlukan bantuan.

"Kesihatan mental dan emosi yang baik harus ada sepanjang tempoh itu serta diteruskan ketika hamil.

"Apapun, sentiasa ingat bahawa anda tidak bersendirian dalam perjalanan ini," ujar Dr Farah lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 12:07 PM