REKA bentuk binaan klasik Masjid Wazir Khan
REKA bentuk binaan klasik Masjid Wazir Khan
Hafiz Ithnin

Penulis hanya mengenakan celana pendek dan baju T berkolar bulat pagi itu, sesuai dengan cuaca panas di luar. Selendang nipis menjadi helaian penting bagi melindungi kepala dan muka daripada sinaran terik matahari.

Kulit muka yang masih pedih akibat pukulan pendakian di laluan paling berbahaya dunia, Kem Induk K2 baru-baru ini sudah menunjukkan tanda terbakar dengan jelas. Berbelang dan mengelupas.

Kisah laluan pendakian itu, pernah penulis ceritakan dalam ruangan ini tahun lalu. Kali ini penulis ingin berkongsi kisah pengembaraan di Lahore, Pakistan yang menjadi destinasi terakhir sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Lahore adalah ibu negeri Punjab dan terletak paling hujung di utara-timur wilayah berkenaan. Seperti kota lain di benua kecil India, Lahore sibuk dan meriah dengan pelbagai aktiviti masyarakat setempat.

Sebagai pengembara, penulis tidak meletakkan sasaran lokasi khusus untuk ditujui kerana lebih gemar mengenali budaya dan menyaksikan gelagat masyarakat setempat.

Namun masa yang ada tetap dimanfaatkan sepenuhnya. Rupa-rupanya di Lahore ada banyak masjid purba yang kelihatan unik untuk dikunjungi dan terasa sangat teringin singgah serta duduk sebentar di dalamnya. Namun pakaian penulis hari itu menjadi penghalang. Terselit rasa sesal kerana memakai seluar pendek.

Oleh kerana keinginan untuk melihat sendiri isi masjid semakin membuak, akhirnya penulis membeli sehelai kain pelekat. Ya, sehelai kain pelekat menjadi permulaan kepada aktiviti kembara masjid hari itu.

Masjid pertama yang ditujui adalah Masjid Badshahi yang terletak di luar bandar lama Lahore atau dikenali sebagai Walled City of Lahore. Masjid ini adalah antara bangunan dan seni bina ikonik di Lahore.

LALUAN pejalan kaki yang kemas di Masjid Badshahi.
LALUAN pejalan kaki yang kemas di Masjid Badshahi.

Dari luar, seni binanya tampak seperti Taj Mahal yang sungguh popular di Agra, India kerana ada tembok besar di sekelilingnya dan pintu gerbang luas untuk masuk ke dalam masjid berkenaan.

Membaca sejarahnya, masjid itu dibangunkan pada era Empayar Mogul keenam ketika pemerintahan Aurangzeb pada 1671. Dari luar masjid itu tampak kemerah-merahan kerana ia dibina menggunakan pasir berwarna merah dan marmar yang diukir kemas.

Suasana di dalam sesak, ramai pelawat yang mungkin juga pelancong tempatan mengambil kesempatan melihat keunikan masjid kedua terbesar di Pakistan itu.

TENUNAN ayat suci al-Quran menggunakan benang emas dipamerkan di Masjid Badshahi.
TENUNAN ayat suci al-Quran menggunakan benang emas dipamerkan di Masjid Badshahi.

Ketika asyik meneliti keindahan masjid berkenaan, sekumpulan remaja lelaki menyapa penulis dan meminta izin untuk merakam foto bersama mereka. Sebagai orang asing pastinya tidak menolak permintaan itu.

Tersenyum penulis melihat mereka bersungguh-sungguh mahu menjadi kawan media sosial. Bagi penulis, ia tidak menjadi masalah. Lebih ramai kawan, lebih meriah.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit, sekumpulan remaja lelaki lain pula mendekati penulis dan meminta untuk bergambar bersama-sama lagi. Perkara itu berlaku bukan dua kali, sebaliknya lebih lima kali. Terasa lucu pula kerana penulis hanya pengembara selekeh dan bukan orang terkenal!

SENI dalaman Masjid Badshahi.
SENI dalaman Masjid Badshahi.

Usai menziarahi Masjid Badshahi, kaki terus melangkah ke kawasan lain. Kali ini, penulis berada di lokasi usang yang sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan. Lorong usang yang unik dan menarik.

Manakan tidak, lorong pertama hanya menjual perhiasan barangan kemas. Lorong kedua, menjual pelbagai barangan logam. Lorong ketiga, menjual perhiasan dan pakaian perkahwinan. Lorong keempat menjual kasut dan selipar sahaja. Bagi menghabiskan perjalanan dari permulaan sehingga hujung lorong, jaraknya tidak kurang 500 meter!

LORONG perniagaan di bandar lama.
LORONG perniagaan di bandar lama.

Penulis difahamkan kawasan itu adalah antara pusat pembekal terbesar di Lahore yang wujud sejak sekitar tahun 1000 Masihi dan dikelilingi tembok lumpur pada zaman pertengahan.

Peniaga di sini sungguh ramah menyapa pengunjung yang lalu di depan kedai mereka. Sapaan itu membuatkan suasana di sini terasa ‘mesra’ meskipun penulis tidak memahami percakapan mereka.

Dalam perjalanan, penulis terpandang sebuah lagi masjid lama. Kelihatan dua lelaki separuh usia melemparkan senyuman dan memanggil untuk singgah di masjid itu.

Dari luar kelihatan sebuah masjid kecil dengan kolah air di depannya. Tidak mahu terus tertanya mengenainya, penulis melangkah masuk ke dalam Masjid Wazir Khan.

BANGUNAN lama di bandar lama.
BANGUNAN lama di bandar lama.

Menurut cerita, masjid ini dibina pada abad ke-17 ketika pemerintahan Shah Jahan dan sudah tentu menyimpan banyak kisah sejarah.

Masjid ini mempunyai dua menara dan penulis diberi kesempatan untuk berada di puncak satu daripada menara bagi melihat pemandangan bandar lama dari atas.

SUASANA di bandar lama yang hiruk-pikuk dengan aktiviti perniagaan.
SUASANA di bandar lama yang hiruk-pikuk dengan aktiviti perniagaan.

Ternyata berada di puncak menara itu memberi kepuasan luar biasa kerana dapat lihat wajah bandar lama yang dikelilingi bangunan purba dan di bawahnya pula terbentang lorong-lorong perniagaan yang sangat sempit.

Jika anda mengunjungi bandar lama jangan lepaskan peluang untuk berada di atas menara itu bagi menikmati pemandangan ‘klasik’ yang sukar ditemui di tempat lain.

KEADAAN sesak di bandar lama mencetus kelainan ketika merayau di kawasan bandar.
KEADAAN sesak di bandar lama mencetus kelainan ketika merayau di kawasan bandar.

Antara tarikan lain jika ke Lahore adalah mengunjungi sempadan Wagah iaitu pintu masuk di antara Pakistan dan India. Pada setiap petang, ada acara yang menceritakan mengenai sejarah pintu sempadan berkenaan dan kita boleh melihat kemeriahan apabila kedua-dua negara memainkan lagu patriotik dengan kuat. Paling menarik, ketika sesi berkawad, askar kedua-dua negara seakan berlawan kemampuan untuk mengangkat kaki siapa lebih tinggi!

Ternyata mengembara ke Lahore bukan sesuatu yang membosankan dan jika ada yang mengatakan ia bandar tidak selamat atau berisiko tinggi, sila lupakan pesanan itu kerana ia amat berbaloi untuk dikunjungi.

ACARA meriah di sempadan Wagah.
ACARA meriah di sempadan Wagah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:10 AM