BANDAR raya Sydney dari Sydney Tower.
BANDAR raya Sydney dari Sydney Tower.
Mohamad Bahadon

PENGALAMAN sukar dilupakan kami sekeluarga apabila berkesempatan melihat proses kelahiran kanggaru. Itu antara kenangan manis yang membuatkan kami mahu kembali lagi ke Sydney, Australia.

Ketika di Koala Santuary Park, sebuah zoo mini persendirian, kebetulan seekor kanggaru datang berbaring depan kami.dan dalam beberapa minit saja lahirlah anak kanggaru. Semuanya berlaku pantas.

Di zoo mini itu juga, kami tidak melepaskan peluang merakam foto bersama koala. Haiwan yang jinak dan pemalu. Pengalaman kedua ialah melihat proses mencukur bulu biri-biri.Kami dibawa ke sebuah ladang atau kawasan penternakan biri-biri yang menempatkan ratusan atau mungkin ribuan biri-biri.

Paling menghairankan, semua biri-biri di sini mempunyai bulu yang tebal dan kelihatan bersih.

Bagaimanapun, lawatan ke Sydney tak lengkap jika tidak melawat beberapa mercu tandanya. Lantas, atur cara lawatan merangkumi lawatan ke sekitar Sydney, bandar raya kedua terbesar di Australia yang mempunyai lebih empat juta penduduk.

Antara tempat yang kami lawati ialah Royal Sydney Botanic Garden berhadapan Opera House.

MENAIKI kereta api bukit di Blue Mountains.
MENAIKI kereta api bukit di Blue Mountains.

Di kawasan ini terdapat Theatre House. Dari atas bukit di Botanic Garden ini pula menampakkan pemandangan menarik ke arah Opera House yang terletak dalam kawasan Circular Quay dan Pelabuhan Darling.

Jelas kelihatan juga Sydney Bridge atau Sydney Harbour Bridge yang dibina pada 1920-an dan menjadi mercu tanda bandar raya ini.

Dari Botanic Garden kami ke kawasan The Rocks yang terdapat kedai di pelbagai bangunan warisan dibina seawal 1780-an.

Ia kawasan membeli-belah eksklusif menempatkan pelbagai kedai pakaian berjenama, fesyen, cenderamata termasuk barangan antik, wangian, penjagaan badan dan keperluan diri serta keluarga. Di sini juga terdapat pelbagai kedai dan pusat hiburan yang amat popular khususnya pada sebelah malam.

Sekitar Pelabuhan Sydney/Pelabuhan Darling sungguh cantik. Selain pelbagai kenderaan laut yang memenuhi pelabuhan ini, ada bangunan kerajaan, bank, gedung perniagaan, restoran dan kedai makanan segera, menjadikan keseluruhan kawasan ini tidak jemu mata memandang.

Pada sebelah malamnya pula keadaan sekitar pelabuhan ini lebih menarik dengan sinaran lampu dan percikan bunga api.

Kemudian kami ke pantai Bondi (disebut Bon-dai) yang popular di Sydney. Pasirnya putih dan bersih dan tidak ternampak sebarang sampah. Penduduknya menghabiskan masa di pantai dengan berjemur di tengah terik matahari dan ramai sekadar berbikini berbaring di kerusi atau di atas pasir pantai. Ada yang berbaring dengan hanya menutup bahagian bawah.

Kami juga ke St Crook Cruise bagi menaiki cruise melihat sekitar Pelabuhan Darling/Pelabuhan Sydney, melepasi Sydney Harbour Bridge dan menikmati makan tengah hari di atas cruise.

Dari sini kami dibawa ke bandar raya melalui Hyde Park sebelum ke China Town berhampiran hotel penginapan kami. Di sini banyak kedai dan bangunannya bertulisan Cina selain pusat beli-belah terkenal iaitu Paddy’s Market.

Kemudian kami ke Scenic World di pergunungan Blue Mountain. Tiga acara diaturkan kepada kami. Pertama, menaiki kereta api dari puncak Blue Mountain melalui kawasan yang kecuraman 45 darjah. Kedua, menaiki kereta kabel untuk kembali ke puncak bukit. Akhir sekali kami menaiki ‘skyway’ untuk ke Katoomba and Echo Point Lookout.

PENULIS bersama keluarga bergambar kenangan berlatarkan Sydney Bridge.
PENULIS bersama keluarga bergambar kenangan berlatarkan Sydney Bridge.

Malah pengalaman bermain ‘sandboarding’ di kawasan padang pasir New Stephen di Nelson Bay juga tidak dapat kami lupakan.

Menaiki pacuan empat roda, kami dibawa ke puncak sebuah bukit berpasir. Bermain ‘sandboarding’ seakan-akan bermain ski di kawasan salji, tetapi bezanya gelongsor di atas dataran berpasir.

Seterusnya kami ke Pelabuhan Stephen, yang kelihatan sama sibuk dengan Pelabuhan Darling.

Kapal dan bot yang pelbagai bentuk dan saiz memenuhi pelabuhan ini.

Bezanya di sini tidak kelihatan kapal yang besar. Hampir semua bot ini milik persendirian, terutama orang kaya untuk berehat atau menghabiskan masa bersama keluarga.

Kami menaiki sebuah bot khas tiga tingkat. Tingkat bawah ialah tempat penumpang dan restoran atau dewan makan, tingkat kedua juga untuk penumpang serta ruang terbuka manakala tingkat ketiga ruang terbuka untuk tinjauan ke laut.

Sebelum bot ini bertolak kami disajikan makan tengah hari. Di bahagian bawah bot disediakan ruang untuk mandi dan berenang.

Kami dibawa ke laut. Setibanya ke kawasan ikan lumba-lumba, cruise diperlahankan. Hampir semua penumpang sudah bersedia dengan kamera di ruang terbuka cruise untuk merakam gerakan ikan lumba-lumba itu. Sempat kami melihat aksi tak seberapa daripada ikan lumba-lumba di situ dan anak saya teruja merakam aksi haiwan itu.

Satu lagi tempat kunjungan kami ialah Sydney Fish Market. Kami dapat melihat udang, ketam, ikan salmon begitu besar yang tidak pernah dilihat di negara kita. Namun yang lebih mempesonakan ialah tahap kebersihan di kawasan pasar itu. Tiada bahan buangan, tiada bau busuk. Terdapat gerai jualan dan ruang pameran hasil lautnya yang bersih dan menarik susunannya. Pada sebelah sisinya disediakan ruang makan yang luas menghadap ke laut.

Berkunjung pula ke Opera House untuk melihat bangunan terkenal ini dari dekat. Dari sini kami dibawa melawat Sydney Aquarium, yang berada di kawasan Pelabuhan Sydney.

Akuarium ini amat luas dan menempatkan pelbagai spesies haiwan air. Kami mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk melawat keseluruhan akuarium. Di sini ada penguin yang lebih menggemari kawasan sejuk dan ikan dugong bersaiz sebesar anak lembu selain pelbagai jenis ikan serta hidupan air yang jarang atau tidak pernah kami lihat sebelum ini.

Satu lagi tumpuan ialah galeri patung lilin atau Madame Tussauds menempatkan pelbagai patung lilin tokoh dan personaliti dunia.

Patung ini direka hampir menyerupai wajah dan tubuh sebenar tokoh berkenaan. Kami bergambar bersama patung ini sebelum ke Malaysia Hall dan merakam gambar di persekitaran bangunannya. Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Paddy’s Market.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:30 AM