Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Kenderaan unik milik Abdul Wahab Bahari ini dibeli sekitar lima tahun lalu dalam keadaan uzur malah ia dijadikan reban ayam oleh pemilik lamanya.

Sama ada van aiskrim, Mira Walktrough atau Mira Van, kenderaan keluaran Daihatsu pada 1989 ini kini cukup menarik perhatian ramai walaupun sebelum ini ia sekadar reban ayam.

"Ia mengambil masa yang agak lama untuk dipulihkan tapi demi minat, saya tetap teruskan dengan mencari alat ganti dan enjin secara sendirian sehinggalah ia kembali beroperasi," kata Abdul Wahab, 43, yang turut dikenali sebagai Iedol Chintaphen.

Kerja baik pulih berkenaan dijalankan bersama pasukannya, 'Etok Garage'.

MIRA Van tampil unik.
MIRA Van tampil unik.

Etok Garage ini membabitkan mekanik dan jurukimpal besi yang menjadikan hujung minggu atau masa lapang untuk melakukan modifikasi dan restorasi kenderaan.

Kata Abdul Wahab, cabaran ditempuh termasuk mendapatkan barangan atau alat ganti baharu atau terpakai dengan kos keseluruhan dibelanjakan setakat ini mencecah RM15,000.

MENJADI perhatian ramai.
MENJADI perhatian ramai.

"Baik pulih dilakukan antaranya membabitkan penggantian enjin kepada EF-JL 660cc Mira L200, bahagian luaran hadapan dan belakang Daihatsu Mira L500 Classic, lampu hadapan dan belakang baharu, 'wheel arch', rak bumbung dan tangga.

"Ruang dalaman pula digantikan dengan papan pemuka L200, roda stereng dan konsol gear L900 selain lantai dan dinding daripada kayu," katanya.

Abdul Wahab yang mula berkecimpung dalam dunia binaan khas ini sejak 2000 pernah menyertai acara 'Art of Speed' dan terpilih sebagai 'Best Display Car' dan 'Best Van' pada 2017 juga 2018 untuk model Mira Pickup serta Mira Van ini.

BAHAGIAN belakang kekal asal.
BAHAGIAN belakang kekal asal.

Sekadar mencuba sesuatu yang berbeza, kata Abdul Wahab, Mira Van berkenaan buat julung kalinya menyertai pertandingan 'Hot Wheels Legend Tour 2021' yang diadakan di peringkat serantau baru-baru ini malah terpilih mewakili Malaysia.

"Ia pertandingan peringkat dunia bagi pencarian kenderaan rekaan khas untuk dijadikan model sebenar kereta permainan Hot Wheels.

"Ini adalah pencapaian terbaik saya dalam dunia modifikasi. Berada pada tahap ini sudah membanggakan apatah lagi jika muncul juara keseluruhan," katanya.

Abdul Wahab mewakili Malaysia di pusingan separuh akhir global untuk bersaing dengan wakil negara lain pada 4 November ini.

RUANG kabin ringkas.
RUANG kabin ringkas.

Kata Abdul Wahab, kejayaan itu umpama pendorong dan penguat semangat untuknya bagi menghasilkan kenderaan lain pada masa depan.

"Kepada mereka yang berminat dengan dunia modifikasi, teruskan sahaja minat dengan kos yang termampu bagi memuaskan hati dan menguji kreativiti diri.

"Saya lakukan semua ini bukan untuk menjadi juara sebaliknya lebih kepada berkongsi pengalaman dan hasil kerja untuk dijadikan tatapan umum," katanya.

LANTAI dan dinding kayu.
LANTAI dan dinding kayu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:10 AM