WIRA milik Jochem dan Ruben.
WIRA milik Jochem dan Ruben.
Lizam Ridzuan


PERNAH bermastautin di Malaysia sejak berusia tiga tahun memberikan idea untuk dua beradik kembar dari Belanda ini mencuba sesuatu yang berbeza.

Meminati dunia modifikasi kenderaan, Jochem dan Ruben Gravemade, 27, yang kini bertugas di Jerman mula memahat nama dengan merealisasikan Projek Proton sejak tahun lalu.

Mereka tular di media sosial permotoran tempatan selepas memandu uji Proton Wira Aeroback 1.5 liter yang ditala sendiri di litar Nurburgring, Jerman.

Litar itu terkenal dengan jolokan 'Green Hell' kerana memiliki pelbagai permukaan dan ketinggian, selekoh dan laluan lurus untuk kepantasan dan pengendalian mencabar.

Malah, banyak jenama terkenal antarabangsa melakukan ujian di litar sepanjang 20 kilometer (km) itu sebagai laras indikasi prestasi pasaran juga idaman buat 'kaki kereta'.

Ruben yang ditemu bual Vroom berkata, mereka memilih Proton Wira kerana membesar di negara ini dan model itu sangat dekat di hati.

WIRA dengan konsep teksi Malaysia.
WIRA dengan konsep teksi Malaysia.

"Meskipun ada banyak pilihan jenama lain, namun kami mahukan kenderaan yang ringan, mudah diselenggara dan efisien.

"Ketika melayari laman web jual beli kenderaan terpakai di sini, kami ternampak Proton Wira untuk dijual lantas membelinya pada harga RM2,000," katanya.

Namun Proton Wira itu yang dibeli pada Julai tahun lalu dengan enjin 1.3 liter itu mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan.

Mereka kemudian melakukan carian sekali lagi di laman web jual beli kenderaan dan mendapatkan sebuah lagi model Wira 1.5 liter pada April lalu yang diberi penambahbaikan seperti yang dilihat pada hari ini.

Idea menggunakan warna teksi ialah di Nurburgring terdapat beberapa jenama kenderaan prestasi menawarkan 'Ring-Taxi' pada kadar bayaran tertentu bersama pemandu profesional untuk mengelilingi litar.

"Kami mengambil pendekatan sama dengan menampilkan konsep unik teksi dari Malaysia untuk ditampilkan di sini.

"Aksesori juga diperoleh hasil bantuan rakan-rakan dari Malaysia yang menyokong usaha kami dan kini menunggu meter tambang teksi untuk lebih menarik dan tersendiri," katanya yang bertugas sebagai penyelidik pasaran untuk projek automotif di Jerman.

Kini fokus mereka mahu menjadikan kereta itu lebih pantas dengan kapasiti lebih besar dengan memasang enjin turbo daripada model Mitsubishi Evolution dan berusaha mencatat masa di bawah 11 minit pada tahun hadapan.

Meskipun hanya sebagai hobi masa lapang, namun kegigihan mereka menjulang jenama Malaysia di persada antarabangsa perlu dipuji.

BUKTIKAN kereta tempatan berprestasi.
BUKTIKAN kereta tempatan berprestasi.

Terdapat juga cadangan daripada warga netizen di laman Instagram yang mahukan mereka mempertimbangkan bagi menguji pula Perodua Myvi di sana.

Namun buat masa ini, mereka hanya fokus di litar ini dan membangunkan Proton Wira dengan penambahbaikan dengan mendapatkan alat ganti serta komponen asli dari Malaysia bagi menguji keupayaan maksimum model berkenaan.

"Kami mahu membuktikan Proton Wira juga mempunyai keupayaan bersaing dengan jenama hebat di litar ini," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 6:05 AM