PELEPASAN konvoi media di Proton COE, Subang Jaya.
PELEPASAN konvoi media di Proton COE, Subang Jaya.
Lizam Ridzuan


SEBAIK pelancaran model Proton Saga 2019 Baharu, Proton Holdings Berhad (Proton) menganjurkan sesi pandu uji media.

Wakil media kemudiannya ‘mengembara’ ke Ipoh, Perak dari Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, Selangor dengan lebih 10 buah Saga yang dihiasi logo negeri-negeri di Malaysia.

Mengekalkan enjin 1.3 liter VVT, Proton Saga 2019 Baharu ini diberi sentuhan kotak gear empat kelajuan automatik baharu untuk prestasi sporty dan penjimatan bahan api melalui ciri Bantu Pandu Eco.

Proton menyediakan Saga daripada varian Premium dan setiap sebuah dikendalikan secara bergilir oleh dua wall media.

Pada sesi kali ini, penulis digandingkan dengan penulis portal permotoran tempatan Drebar.my, Erywan Norshal.

TIBA di hotel penginapan di Ipoh.
TIBA di hotel penginapan di Ipoh.

Sebaik memulakan pemanduan melalui Lebuhraya Kesas sebelum ke Koridor Guthrie (GCE), perkara pertama yang dapat dirasakan ialah kelancaran kotak gear yang menggantikan CVT itu.

Perjalanan kemudian menyusur keluar ke Lembah Beringin menempuh jalan kampung yang sempit serta jalan Persekutuan dua lorong bagi menguji pengendalian serta tork untuk memintas.

Sebelum berhenti untuk makan tengah hari di Tanjong Malim, hujan melanda dan ia peluang terbaik melihat keberkesanan sistem keselamatan model itu ketika melalui jalan licin.

Untuk varian Premium, dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) serta Bantuan Kawalan Cerun, pengesan tempat letak kereta hadapan juga kamera undur.

Perjalanan diteruskan ke Slim River untuk sesi fotografi dan kemudian bergerak ke Ipoh melalui Lebuhraya Utara Selatan.

Ketika ini, penulis menguji tahap kelajuan maksimum yang cuba dicapai dan mencatatkan sekitar 175 kilometer/sejam (km/j).

LALUAN jalan perkampungan.
LALUAN jalan perkampungan.

Pada kelajuan tinggi, transmisi baharu ini membantu mengurangkan kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH).

Sebaik tiba di Ipoh, semua peserta berpeluang bergambar di hadapan stesen kereta api berlatar belakangkan bangunan kolonial sebelum ke hotel penginapan.

Melalui pemerhatian penulis, Proton Saga 2019 Baharu tampil lebih menarik dengan bampar hadapan baharu serta lampu nyalaan siang (DRL) serta bahagian gril menerima ciri signatur ‘Infinite weave’ yang mula diperkenalkan pada X70, Iriz serta Persona terbaharu.

Pada bampar belakang, ia turut dilengkapi spoiler baharu selain perkataan Proton pada penghujung penutup but manakala rim aloi bersaiz 15 inci menyerlahkan rekaan keseluruhan.

SESI fotografi di Ipoh, Perak.
SESI fotografi di Ipoh, Perak.

Ruang dalaman pula dilengkapi skrin sesentuh bersaiz tujuh inci terapung (floating screen) untuk ketersambungan fungsi hiburan dan maklumat, Bluetooth, simpanan dalaman 16GB dan sambungan ke telefon pintar Android.

Tempat duduk juga diberi sentuhan fabrik rekaan baharu, panel hadapan tengah, paparan meter dengan Bantuan Pemanduan Eco serta tiga pengecas USB, kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu.

Untuk lebih perincian model ini akan dilakukan dalam ruangan pandu uji Vroom Metro Ahad tidak lama lagi dan penulis berpendapat ia adalah sedan segmen A yang berbaloi untuk pembelian.

Proton Saga 2019 Baharu dijual pada harga RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:05 AM