SUV, Hyundai Santa Fe.
SUV, Hyundai Santa Fe.
Mohd Razlan Salleh


TIDAK mahu dilihat ketinggalan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), Hyundai-Sime Darby Motor Sdn Bhd memperlihatkan model generasi keempat Santa Fe yang bakal memasuki pasaran tahun ini.

Pengedar rasmi model berkenaan mempamerkan jentera terbaharu itu ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) lalu dengan penambahan beberapa pembaharuan termaju dunia automotif.

Masih mengekalkan bentuk ikonik ‘Cascading Grille’ besar yang memenuhi bahagian hadapan kenderaan, kehebatan teknologi pengeluar kenderaan gergasi Korea Selatan ini jelas dilihat melalui perumah lampu hadapan yang unik dan futuristik.

Hadir bersama lampu nyalaan siang (DRL), Santa Fe generasi terbaharu didatangkan bersama teknologi LED untuk lampu utama serta belakang.

Rekaannya yang lebih solid menjadikan Santa Fe memiliki aura SUV kompak Kona yang mencetuskan persepsi baharu terhadap kenderaan kompak.

Ruang bampar menempatkan lampu kabus yang berkongsi bersama lampu isyarat membelok.

Bahagian sisi masih mengekalkan bentuk serba premium dengan garis kontur yang membantu aerodinamik kenderaan selain memberi nafas lebih segar.

Melihat pada bahagian belakang, ramai yang pasti tertawan dengan perumah lampu belakang berbentuk bujur tetapi imej lebih tajam pada sisi.

Ruang dalaman masih mengekalkan ciri mewah dan keselesaan maksimum untuk pemandu serta penumpang.

Papan pemuka yang kelihatan padat tetapi kemas dan tidak menyukarkan pemandu untuk mencapai butang kawalan.

Skrin sentuh bagi sistem infotainmen bersaiz tujuh inci TFT LCD di tengah menjadi pelengkap kepada sistem hiburan kenderaan, selain pengecas tanpa wayar Qi.

Semua kerusi disaluti kulit premium yang memberi imej mewah SUV dengan kapasiti tujuh penumpang.

Kerusi baris kedua pula mudah dilipat dengan hanya satu sentuhan, memberi laluan lebih mudah untuk penumpang baris ketiga.

Untuk ruang bagasi lebih besar, kerusi barisan ketiga boleh disimpan kemas dengan but belakang dikawal secara elektronik.

Untuk pasaran tempatan, Santa Fe didatangkan dengan dua varian enjin Theta II berbeza iaitu 2.4L MPI menawarkan 176 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 227 Nm manakala varian 2.2 VGT berkuasa diesel memiliki 197 hp serta 436 Nm tork.

Varian petrol dibekalkan dengan transmisi automatik enam kelajuan, sementara transmisi automatik lapan kelajuan untuk varian diesel.

Ciri keselamatan standard seperti enam beg udara, Sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC) dan Brek Parking Elektrik (EPB).

Dijual pada harga bermula RM188,000, Hyundai Santa Fe hadir dengan servis percuma selama tiga tahun atau 50,000 kilometer jarak perbatuan dan jaminan selama lima tahun atau 300,000km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 6:40 AM