LEXUS UX.
LEXUS UX.
Mohd Razlan Salleh

Pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) sentiasa meriah dengan kehadiran pelbagai model baharu yang menepati selera pengguna.

Bukan saja kelasakan dan praktikaliti menjadi ukuran, malah ciri premium turut diambil kira sebelum memiliki sebuah SUV.

Antara model yang bakal menggegar pasaran tempatan tidak lama lagi adalah Lexus UX yang bercirikan Urban Crossover kompak.

Model serba mewah ini dipertontonkan buat kali pertama kepada umum ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, baru-baru ini.

Identiti jentera Lexus mudah dikenali dengan gril hadapannya yang memperlihatkan ciri kenderaan premium.

Meskipun memegang DNA sebagai SUV, Lexus UX dibina di atas platform Global Architecture-Compact (GA-C) dengan rekaan badan tegap tetapi memiliki titik graviti rendah selain pemanduan dinamik seakan-akan sebuah sport coupe.

Bahagian hadapan menyerlahkan rekaan Spindle Grille lebar, sekali gus menjadikan perumah lampu utama yang turut menempatkan lampu nyalaan siang (DRL) lebih tajam dan tirus.

Garis kontur halus berwarna krom menegak melengkapkan imej premium jenama Lexus ini.

Bentuk sporty disempurnakan melalui garis bumbung rendah ke arah belakang sebelum diakhiri dengan spoiler belakang yang berfungsi memberi kestabilan ketika bergerak.

Imej unik juga boleh dilihat daripada bahagian belakang yang menempatkan perumah lampu LED melintangi kenderaan.

Cetusan idea pembangunan Lexus UX hasil ilham ketua reka bentuk, Chika Kako, yang juga ketua jurutera wanita pertama dalam sejarah Toyota Motor Corporation.

IDENTITI Lexus dengan ‘Spindle Grille’.
IDENTITI Lexus dengan ‘Spindle Grille’.

Lexus UX menggunakan pacuan enjin petrol empat silinder 2.0L Dynamic Force baharu menawarkan 169 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 205 Nm.

Enjin berkuasa ini dipadankan bersama kotak gear terbaharu dengan gear pertama mekanikal yang pertama diperkenalkan terhadap model Lexus.

Sebaik mula bergerak, transmisi CVT akan mengambil alih tugasan gear dan tetapan ini menawarkan pemanduan lebih senyap serta penjimatan bahan api mengagumkan.

Melihat ke ruang kabin, susun atur papan pemuka yang kemas bersama kemasan mewah seperti model Lexus lain.

Material seperti tekstur kertas Jepun ‘Washi’ dan upholsteri ‘Sashiko’ pada tempat duduk memastikan ia tahan lebih lama serta tampak mewah.

Ruang tengah menempatkan skrin bersaiz 10.25 inci serta kawalan melalui kaedah Remote Touch manakala meter digital sepenuhnya bersaiz tujuh inci memudahkan pemandu.

Sistem audio Lexus Premium dengan lapan pembesar suara memastikan alunan melodi memuaskan halwa telinga pemandu dan penumpang.

Dari segi keselamatan, Lexus UX dilengkapi pelbagai ciri di bawah Lexus Safety System+ merangkumi teknologi seperti Pre-collision System (PCS), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive High-beam System (AHS) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:01 AM