AKIO (kanan) bersama Ismet (kiri) bergambar kenangan bersama Dr Ramona (dua dari kiri) dan Nurfarini yang hadir pada majlis penyerahan cek sumbangan di Ibu Pejabat UMW Toyota Motor, Shah Alam pada 16 Disember lalu.
AKIO (kanan) bersama Ismet (kiri) bergambar kenangan bersama Dr Ramona (dua dari kiri) dan Nurfarini yang hadir pada majlis penyerahan cek sumbangan di Ibu Pejabat UMW Toyota Motor, Shah Alam pada 16 Disember lalu.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Toyota Classics antara tonggak utama tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi UMW Toyota Motor.

Sejak 20 tahun lalu, Toyota Classics sudah membangunkan nilai tersendiri membabitkan persembahan orkestra berbeza dari seluruh dunia.

Namun falsafahnya masih kekal sama iaitu mengajak rakyat negara ini menikmati pengalaman persembahan muzik memukau dan pada masa sama memberi sumbangan untuk tujuan kebajikan.

Bertepatan dengan objektif asal, UMW Toyota Motor sekali lagi menganjurkan persembahan Toyota Classics 2016, baru-baru ini di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.

Persembahan Toyota Classics tahun ini menampilkan Baltic Neopolis Orchestra dari Poland di bawah pimpinan pengarah dan pemain violin Vasko Vassilev, komposer dan pemain piano, Pamela Tan Nicholson.

Selain menjadi acara unik bagi mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan, Toyota Classics kini berkembang menjadi acara tahunan dinanti peminat muzik saban tahun.

Peminat muzik yang hadir juga sedia maklum sumbangan melalui pembelian tiket itu bakal disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Sebanyak RM380,000 hasil kutipan tiket dan sumbangan korporat berjaya dikumpul dan UMW Toyota Motor berbesar hati kerana angka berkenaan melebihi jumlah sasaran.

Hasil kutipan berkenaan disalurkan kepada dua organisasi iaitu Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Youth Trust Foundation (myHarapan).

Fakulti Muzik UiTM bakal memanfaatkan dana berkenaan untuk tujuan projek kajian bagi mencipta, memelihara dan memulihara buluh sebagai alatan muzik melalui komposisi, persembahan serta pendidikan.

Dekan Fakulti Muzik UiTM, Profesor Madya Dr Ramona Mohd Tahir berkata, sumbangan yang diterima itu bakal melahirkan inovasi peralatan muzik daripada buluh dan mencipta alat muzik baru daripada bahan berkenaan.

Youth Trust Foundation yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurfarini Daing berkata, dana yang diterima bakal digunakan untuk menyediakan geran belia kepada penerima terpilih.

Geran diberikan membabitkan pelaksanaan projek yang ditentukan pihak pengurusan dan menepati kriteria UMW Toyota Motor untuk dimanfaatkan golongan itu.

Fakulti Muzik UiTM dan Youth Trust Foundation masing-masing menerima sumbangan RM191,000 dalam satu majlis penyerahan cek yang diadakan di Ibu Pejabat UMW Toyota Motor, Shah Alam.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, pihaknya menghargai sokongan padu diberikan rakyat negara ini terutama peminat muzik dan rakan perniagaan UMW Toyota Motor yang mencerminkan kemurahan hati masyarakat dalam hal kebajikan.

Turut hadir pada majlis penyerahan cek kepada dua penerima itu, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.

Menurut Ismet, Toyota Classics sudah menyokong 63 organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM8 juta sejak mula diperkenalkan.

“Kami bangga melihat sumbangan yang diberi mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka yang terbabit di dalam setiap organisasi berkenaan,” katanya.

“Mengetengahkan tema Memperkasakan Belia (Youth Empowerment) bagi sumbangan tahun ini mencerminkan inisiatif Toyota melabur untuk masa hadapan dengan membangunkan golongan belia, sekali gus memberi sokongan terhadap kesungguhan mereka.

“Secara ringkas, usaha ini adalah cara tersendiri kami menuju ‘Paying It Forward’ iaitu bertindak sebagai sokongan dan bantuan kepada golongan belia supaya mereka dapat mempelajari nilai penting, kemahiran hidup dan kualiti kepemimpinan yang diperlukan untuk kehidupan lebih baik bagi generasi seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:01 AM