Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Ketika itu angin dingin di kawasan perkuburan membawa kabut di sepanjang jalan kecil menuju ke Pusat Pengurusan Mayat Monuta Innemee di Gravenhage, The Hague, Belanda.

Gerimis berterusan sejak dinihari bagaikan menemani kesedihan dipendam 20 ahli keluarga dan waris mangsa letupan pesawat MH17.

Hari itu sekitar jam 9 pagi, 20 Ogos 2014. Semua waris ini yang dibawa menaiki van khas menapak lemah memasuki kawasan berpagar di kawasan perkuburan berkenaan. Sunyi dan senyap.

Empat jenazah mangsa beragama Islam ketika itu sudah selesai dimandi dan dikafankan rapi. Penulis yang turut berada di situ dibenarkan memasuki kamar kecil di tingkat bawah kompleks pengurusan mayat itu.

Semua jenazah sudah sedia ditempatkan di dalam keranda. Disusun rapi di baris paling hadapan kamar.

Urusan memandi dan mengkafankan semua jenazah sebelum itu dilakukan penuh teliti pasukan pengurusan jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibantu Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) di aras bawah tanah kompleks berkenaan.

Ketua penyelaras pasukan mengurus jenazah yang kini adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dilihat pegun di sudut bilik. Wajahnya sedikit suram.

Beberapa minit kemudian Imam Besar Masjid Putrajaya, Datuk Abdul Manaf Mat muncul melangkah ke saf paling hadapan untuk mengimamkan solat jenazah.

Hampir 40 makmum dalam kalangan waris mangsa, wakil kedutaan Malaysia, petugas Jakim dan Kagat berhimpun serta berdiri rapat untuk menunaikan solat jenazah.

Penulis yang berada di saf paling hadapan turut merasai kesedihan tatkala terdengar bunyi esakan tangis anak kecil. Sesekali bunyi itu tenggelam dalam bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad pada takbir kedua.

Doa dibacakan imam selepas selesai solat jenazah. Hati ketika itu tambah sebak. Ada air mata waris yang tumpah, namun mereka cuba untuk menahannya sambil tangan mengaminkan doa.

Usai solat jenazah sejam kemudian, semua hadirin mula bergerak meninggalkan kamar berkenaan.

Semua jenazah terbabit bersama 16 lagi mangsa akan diterbangkan pulang ke tanah air keesokan harinya (21 Ogos 2014) mengikut jadual ditetapkan.

Jenazah rakyat Malaysia ini adalah kumpulan pertama yang akan dibawa pulang untuk disemadikan.

Ketika berjalan meninggalkan pekarangan rumah mayat itu, penulis menoleh ke sisi. Terlihat kelibat seorang lelaki memakai seluar denim dan jaket hitam berkopiah. Pandangannya kosong sambil melangkah lesu.

Hati penulis terdetik untuk menghampiri dan menegurnya buat kali pertama. Ternyata sapaan salam penulis disambut tenang. Lelaki berusia sekitar 40-an itu memperkenalkan diri sebagai Ustaz Mohamed Affendi Khairuddin.

Rupanya sosok lelaki berjambang ini adalah suami kepada pramugari Malaysia Airlines, Mastura Mustafa yang turut terkorban dalam tragedi besar negara itu.

Hati suami mana yang tidak sedih, pedih luluh tatkala kehilangan isteri tercinta.

Sambil menghela nafas berat, beliau masih mampu berkongsi memori dan detik indah terakhir sebelum ajal menjemput isterinya.

Ternyata cinta abadinya pada Mastura begitu mendalam. Malah, dia bagaikan mendapat firasat melalui mimpi buruk beberapa hari sebelum nahas berlaku.

Biarpun dihalang, Mastura tetap komited dengan tugas dipikul. Pesannya pada suami, semuanya akan baik-baik sahaja.

Apa yang masih disimpan rapi Affendi hanyalah mesej SMS terakhir dihantar Mastura kepadanya berbunyi: 'Sayang tak akan selamanya sentiasa ada bersama abang. Suatu hari nanti sayang akan temui Allah dan tak kan kembali.'

Bergenang air mata tatkala membacakan semula bait-bait ayat berkenaan. Seakan-akan Mastura sudah dapat menjangka nasib bakal menimpa dirinya.

Pesanan terakhir Mastura itu 'disemadikan' penulis pada muka hadapan akhbar Harian Metro bertarikh 22 April 2014. Iaitu pada hari sama ketibaan semua jenazah mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seawal jam 11 pagi keesokan harinya (21 Ogos 2014), penulis dibenarkan memasuki kawasan Kompleks Kargo Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam bagi melihat sendiri proses memindahkan 17 keranda dan tiga bekas abu mayat mangsa ke dalam 'perut' pesawat MH6129.

Semuanya dilakukan dengan pantas dan teratur sebelum pesawat MAS berlepas pulang ke tanah air tepat pada jam 3.40 petang waktu tempatan.

Biarpun tempoh sedekad sudah berlalu namun kedukaan keluarga 298 mangsa Boeing 777 itu masih dirasai penulis sehingga kini. Bukan mudah untuk memadamkan semua memori pahit ini.

Membangkitkan lagi kesedihan apabila wartawan Berita Harian, Mohd Hamizar Abd Hamid yang turut melaporkan berita bersama penulis di Amsterdam, Belanda, terkorban dalam nahas jalan raya di Putrajaya dua tahun kemudian.

Kepada arwah mangsa pesawat MH17 dan Hamizar. Hanya doa dan al-Fatihah dapat dititipkan buat mereka yang pergi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:20 AM