URUSAN pengebumian jenazah mangsa Covid-19 dilakukan mengikut SOP ditetapkan.
URUSAN pengebumian jenazah mangsa Covid-19 dilakukan mengikut SOP ditetapkan.
Dr Abdul Hanis Embong

Sehingga September lalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula, angka korban akibat Covid-19 terus meningkat dan tidak menentu. Berita tempatan memaparkan jumlah mangsa yang meninggal dunia sehingga ada kalanya melebihi 200 orang dalam satu hari tidak kira umur, jantina dan tahap kesihatan.

Dalam situasi sedemikian, seluruh ahli keluarga mangsa perlu bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal lebih-lebih lagi jenazah mereka akan dimandikan, dikafankan, disolatkan serta dikebumikan oleh pihak hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Umum mengetahui bahawa mangsa Covid-19 yang meninggal dunia adalah dikira mati syahid. Mati syahid yang dimaksudkan ialah syahid akhirat iaitu mereka akan dikurniakan pahala mati syahid, namun tidak termasuk hukum mati syahid dunia dan akhirat iaitu tidak perlu dimandi serta disolatkan.

Gelaran mati syahid ini berasaskan kepada beberapa hadis Nabi SAW, antaranya adalah seperti berikut:

"Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah." (Riwayat al-Bukhari, 2829 & Muslim, 1914)

Gelaran syahid ini diberikan kerana keistimewaan kurniaan Allah SWT kepada mereka atas dugaan, kedahsyatan, kesakitan dan kepedihan ujian yang dihadapi atas muka bumi ini. Covid-19 wabak yang berbahaya dan menyeksa mangsanya sebelum meninggal dunia. Namun hikmahnya, ganjaran pahala yang amat besar di sisi Allah SWT kelak menyamai pahala syahid di jalan Allah.

Dalam keadaan ini, ahli keluarga mesti mengambil tahu beberapa perkara yang perlu dilakukan sejurus selepas kematian. Ahli keluarga tidak sewajarnya terus bersedih dengan tidak melakukan apa-apa tindakan kerana jenazah tak dapat dilihat dan diuruskan seperti jenazah biasa.

Tindakan pertama yang perlu dilakukan ialah solat jenazah secara ghaib. Solat itu boleh dilakukan bila-bila masa selepas jenazah dimandikan dengan empat takbir, hanya berbeza pada niat. Ahli keluarga juga boleh memaklumkan sepantas dan seramai mungkin kepada kenalan maya yang lain supaya mereka turut dapat solat jenazah ghaib dan mendoakan kebaikan bagi mangsa yang meninggal.

Jika solat jenazah secara fizikal di rumah mampu memuatkan 50 hingga 100 orang, solat jenazah secara ghaib ini boleh dilakukan tanpa sempadan ruang bahkan sehingga ratusan dan ribuan orang di rumah masing-masing sahaja.

Semakin ramai maka adalah semakin baik untuk mendoakan kebaikan si mati berdasarkan hadis baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Setiap seorang Muslim yang meninggal dunia lalu ada 40 orang menyembahyangkan jenazahnya dan mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun maka solat yang mereka lakukan akan memberi syafaat kepada si mayat." (Riwayat Muslim, 948)

Perkara kedua selepas solat adalah berkaitan semua hutang dan tanggungan harta si mati. Ia perlu disempurnakan ahli keluarga sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. Hal ini amat perlu dititikberatkan oleh ahli keluarga kerana kaedah komunikasi adalah terbatas sepanjang PKP. Saudara, sahabat serta jiran terdekat perlu dihubungi bagi mengetahui status hutang, harta pinjaman dan sebagainya sekiranya ada.

Seterusnya yang ketiga ialah doa, bacaan al-Quran dan tahlil boleh dilakukan secara sendirian atau secara dalam talian. Melalui teknologi kini, ramai ahli keluarga dan kaum kerabat berkumpul secara dalam talian serentak bagi sama-sama membaca surah Yasin, tahlil dan doa selamat walau di mana jua berada.

Terdapat juga yang mengakhiri sesi tahlil dengan tazkirah oleh ustaz yang dijemput khusus untuk memberi motivasi agama dan sokongan rohani kepada semua ahli keluarga yang hadir. Ia sedikit sebanyak mampu membantu meringankan kesedihan yang dihadapi.

Berdasarkan hadis Nabi SAW, tiga keadaan yang pahalanya sampai apabila dikirimkan yang bermaksud: "Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya." (Riwayat Muslim, 1631 & al-Nasa'i, 3651)

Jumhur ulama berpendapat doa juga dapat memberi manfaat kepada orang yang meninggal dunia. Ijmak ulama berpendapat doa ke atas mereka dapat memberi manfaat dan sampai pahala kepadanya (al-Nawawi). Ia adalah berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki serta dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu.'" (Surah al-Hasyr, 10)

Kesimpulannya, mangsa Covid-19 yang meninggal dunia dikira syahid akhirat yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT. Meskipun begitu, umat Islam digalakkan berdoa supaya diberi kesudahan dengan cara yang baik seperti doa daripada baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat." (Ibn Hibban, 949)

Selain itu, ahli keluarga perlu melaksanakan segala tuntutan dunia dan akhirat terhadap peninggalan si mati sebaik mungkin supaya sempurna urusannya di akhirat kelak di hadapan Allah SWT.

Tiada masalah untuk bersedih bagi meraikan naluri manusiawi, namun hidup mesti diteruskan dengan amalan ibadat dan doa terhadap mereka supaya ditempatkan bersama orang yang soleh serta diampunkan segala dosa. Ketahui bahawa doa ialah senjata ampuh orang beriman.

 

Penulis pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:00 AM