Danisha Shaikh Mohd Noor (kanan); Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood (kiri).
Danisha Shaikh Mohd Noor (kanan); Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood (kiri).

Kuala Lumpur: Ketika tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, Danisha Shaikh Mohd Noor, 21, belum mengerti sepenuhnya apa yang berlaku.

Walaupun tragedi itu mengorbankan bapanya, Shaikh Mohd Noor Mahmood, tetapi dia pada saat itu belum benar-benar mengerti mengenai kejadian terbabit.

Namun kini, Danisha sudah memahami kesengsaraan yang dihadapi keluarganya termasuk seluruh individu yang turut kehilangan insan tersayang dalam nahas membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) berkenaan.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Ketamadunan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, memori bersama arwah bapanya disimpan rapi dalam ingatan sehingga kini.

Anak kedua daripada empat beradik terbabit berkata, dia baru berusia 11 tahun ketika bapanya yang juga pramugara MH17 terkorban dalam tragedi berkenaan.

"Sehingga kini, keluarga saya terutama sebelah daddy masih terkesan dengan kehilangannya.

"Walaupun mereka sudah meneruskan kehidupan seperti biasa tetapi tragedi itu sukar untuk dilupakan.

"Bagi saya sendiri walaupun tidak ingat dengan jelas situasi ketika itu kerana masih kecil, kenangan manis bersama daddy masih segar dalam ingatan saya.

"Saya paling rapat dengan daddy yang saya anggap seperti kawan baik. Arwah berfikiran terbuka, kami boleh berbual apa saja termasuk mengenai muzik dan buku. Arwah sangat memahami dan sentiasa menjadi rujukan saya.

"Apabila tidak bekerja, dia sentiasa meluangkan masa bersama anak dan kami banyak habiskan masa bersama. Ia menjadi kenangan terindah buat saya selamanya," katanya .

Memasuki sedekad tragedi itu, Danisha berkata, dia amat menghargai usaha kerajaan dan pelbagai pihak yang terbabit untuk membawa pulang serta menguruskan mayat kesemua 298 penumpang dan kru kapal termasuk bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:10 AM