RIENA kini menemui cinta dan kebahagiaan semula.
RIENA kini menemui cinta dan kebahagiaan semula.
Norhayati Nordin


Putus cinta bukan pengakhiran kehidupan. Segalanya bergantung jodoh dan yang penting jangan sesekali menutup pintu hati meskipun kekecewaan dalam percintaan itu menyakitkan.

Bagi pelakon Riena Diana, 27, kini dia kembali melalui semula fasa gembira dan membahagiakan dalam kehidupan dengan kehadiran teman istimewa baharu iaitu pelakon Keith Foo yang semakin dikenali rapat.

Pemilik nama sebenar, Nur Qamarina Diana Zulreal ini berkata, persamaan yang dilihat banyak antara mereka berdua membuatkan dia dan Keith cepat mesra serta mudah membentuk keserasian apabila bersama.

"Hendak cakap lebih-lebih (mengenai hubungan), saya risau sebab tak tahu masa depan macam mana. Apa pun, macam yang dah saya katakan sebelum ini, kami sekarang dalam proses mengenal hati budi masing-masing.

"Jadi, mohon doakan yang terbaik dan kalau ada jodoh kami, insya-Allah. Namun, setakat ini saya dan Keith lebih selesa 'go with the flow' saja," katanya pada sidang media I Can See Your Voice Malaysia musim ke-7 (ICSYVM7) baru-baru ini.

ICSYVMY7 ditayangkan di TV3 setiap Ahad jam 9 malam menampilkan Riena sebagai penyiasat tetap ICSYVM7 bersama Bell Ngasri, Naim Daniel dan Siti Khadijah Halim, termasuk pengacara, Izzue Islam dan Shiha Zikir.

Ditanya sejauh mana dia boleh menerima status Keith yang duda dan bapa tunggal seorang anak perempuan, Riena berkata, paling penting dirinya tidak cuba didekati lelaki yang sudah ada kekasih atau suami orang.

"Keith sendiri ada beritahu saya yang dia 'single' (solo), jadi saya okey asalkan bukan hak orang lain. Namun, apabila timbul persoalan netizen yang mengaitkan dia (Keith) dengan pelakon Tiz Zakiah, saya tak tahu apa-apa.

"Apa pun, saya tak cuba ambil hak orang dan nak rampas ke. Cuma mengenai kaitan yang diperkatakan itu, rasanya lebih baik biar Keith yang jawab sendiri. Saya tak mahu komen lebih sebab tiada kena-mengena pun," katanya.

Menurut Riena lagi, dia juga memastikan perhubungan dijalinnya dengan seseorang dapat diterima baik keluarga dan mengakui gembira ikatan teman rapat antaranya dengan Keith disokong kedua-dua belah famili.

"Kalau bukan suami orang dan hanya duda, tak apa. Saya boleh terima, termasuk jika bakal suami itu sudah ada anak daripada perkahwinan lalunya. Ini kerana, saya pun sukakan budak-budak.

"Cuma dalam soal perhubungan ini kena ada restu dan diterima baik keluarga. Apa pun, hubungan saya dengan anak Keith iaitu Skylar, 7, juga okey dan baik ketika menghadiri sambutan hari lahirnya atas undangan Keith," katanya.

Selesa positif, Riena berkata, dia juga tidak sangka pengakuan rapat dengan Keith yang dibuat baru-baru ini diterima baik oleh semua peminat mereka dengan ada mendakwa 'Lailer sudah bertemu Jekfer'.

Sebelum ini, Riena pernah mendedahkan hubungan cintanya dengan kekasih dikenali sebagai Nik Afiq sudah berakhir pada penghujung tahun lalu walaupun ada perancangan ke fasa berumah tangga.

Manakala Keith pula pernah berkahwin dengan model, Kim Raymond pada November 2015, tetapi berakhir dengan perceraian pada hujung 2019. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Rindu jadi penyampai radio

Riena yang juga aktif sebagai pengacara, pernah berkhidmat sebagai penyampai radio di Hot FM bermula Februari 2021 sehingga Julai 2022 yang diakuinya satu pengalaman sangat indah.

Namun, bagi memberi tumpuan pada karier lakonan yang perlu menyiapkan dua drama membuatkan Riena 'angkat kaki' meninggalkan konti radio Hot FM secara baik tanpa sebarang konflik atau kontroversi.

Ditanya kerinduannya terhadap kerjaya radio, Riena tidak menafikan dia rindu, namun sehingga kini masih tidak menerima tawaran bekerja dengan mana-mana stesen radio.

"Saya rindu nak jadi penyampai radio macam dulu sebab seronok sebenarnya kerja di konti (radio). Cuma buat masa ini saya belum dapat apa-apa peluang baharu dan tawaran bekerja di radio semula.

"Bagi saya tawaran bekerja ini adalah rezeki. Jadi, mungkin sekarang belum ada rezeki saya untuk kembali ke radio semula. Apa pun, saya keluar meninggalkan Hot FM dulu secara baik kerana karier lakonan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 6:00 AM