ZULhanya persiap minda, bersedia secara mental jayakan watak utama Sheriff: Narko Integriti . FOTO Aziah Azmee
ZULhanya persiap minda, bersedia secara mental jayakan watak utama Sheriff: Narko Integriti . FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Siapa sangka, filem Sheriff: Narko Integriti yang mempertaruhkan Zul Ariffin sebagai teraju utama sudah meraih kutipan RM16.3 juta selepas empat hari tayangan.

Berkongsi keterujaan itu, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 38, berkata, Sheriff banyak menonjolkan babak mendebarkan dan lasak terutama letupan kenderaan yang besar iaitu bas pekerja.

"Kena tonton filem ini kerana banyak elemen lasak, aksi dan kemanusiaan yang ditampilkan sepanjang perjalanan kisah.

"Saya pasti tidak mengecewakan kerana sentuhan Syafiq Yusof selaku pengarah memang terbaik, begitu juga dengan teman gandingan saya yang lain.

"Datuk Aaron Aziz menjadi antagonis, manakala pelakon lain ialah Syafiq Kyle, Azira Syafinaz dan Elizabeth Tan," katanya.

Katanya, sebelum menjayakan watak Sheriff dia perlu mempersiapkan diri dari segi mental berbanding fizikal kerana babak dalam filem itu memerlukan kekuatan minda.

"Setiap kali masuk set filem terutama genre aksi, kita selalunya ada pasukan lagak ngeri (stuntman) sebab mereka lebih arif dalam bahagian fizikal dan mereka lebih tahu dari segi isu keselamatan.

"Mereka banyak tolong, saya hanya persiapkan minda dan saya tahu bila kita nak perlu bersedia secara mental dan tak boleh nak 'manja'.

"Untuk hidupkan sesuatu watak itu perlukan masa panjang untuk faham babak dibawakan," katanya.

Menurut Zul, dia percaya filem Sheriff akan terus mendapat sokongan ramai tambahan pula kini semua masih dalam 'mood' Aidilfitri.

"Secara peribadi saya suka plot Sheriff yang mempunyai kelebihan bukan saja dari segi perjalanan cerita, malah perwatakan setiap karakter.

ZUL (tiga dari kiri) ketika malam gala filem Sheriff. FOTO Aziah Azmee
ZUL (tiga dari kiri) ketika malam gala filem Sheriff. FOTO Aziah Azmee

"Semua watak mempunyai tarikan yang bakal membuatkan penonton melekat di kerusi untuk terus mengikuti perjalanan Sheriff," katanya.

Sheriff terbitan Skop Productions dan Astro Shaw ditayangkan di pawagam sejak 18 April lalu.

Sementara itu, menyentuh mengenai keakrabannya dengan penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai, Zul berkata, persahabatan mereka sudah lama terjalin.

Malah, kemunculan wanita itu dalam foto hari raya pada 1 Syawal lalu juga bukan perkara pelik memandangkan sejak bertahun-tahun lalu Gayatri menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.

"Ibu saya, Allahyarham Robiah Nasir sudah anggap Gayatri seperti anak sendiri sehingga dia menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

"Ibu saya sayangkan dia, malah sudah lama Gayatri beraya bersama keluarga kami setiap tahun. Gambar raya pun sentiasa ada macam tahun lalu.

"Tiada apa yang pelik pun. Benda (bergambar sekeluarga) tiap-tiap tahun ada termasuk dengan dua kakak saya, tahun ini abang saya saja yang tiada dalam foto itu,"katanya.

Dalam masa sama, Zul enggan terlalu terbuka bercerita mengenai perancangan mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan yang masih berteka-teki.

Mengakui dia sentiasa diperhatikan dalam bidang ini, Zul berkata, dia mahu menyimpan sedikit hal privasi berkenaan perancangan hari bahagianya itu.

Saya seorang pelakon, tidak kira baik atau buruk, orang pasti nak tahu, cuma bukan tak mahu kongsi hal personal, tetapi itu satu-satunya yang saya miliki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 7:00 AM