MASDAR bersama Nizam ketika proses baik pulih van jenazah di Azam Motor, Banting. FOTO Rohanis Shukri
MASDAR bersama Nizam ketika proses baik pulih van jenazah di Azam Motor, Banting. FOTO Rohanis Shukri
Nurul Husna Mahmud

Banting: Tidak ramai sanggup atau berani bekerja mengubahsuai van jenazah atau memperbaiki keranda kerana takut terkena 'badi' atau gangguan.

Namun lain cerita buat, pengimpal besi atau pembuat keranda van jenazah di Azam Motor Banting, Nizam Sarikon yang melihat kerja mengubah suai van jenazah termasuklah memperbaiki keranda adalah tugas menginsafkan.

"Alhamdulillah setakat ini tiada gangguan yang teruk saya alami sepanjang tempoh membaiki keranda van jenazah atau sebagainya.

"Malah saya lihat kerja memperbaiki keranda adalah sesuatu yang sering mengingatkan saya mengenai soal kematian.

"Kenapa perlu takut dengan van jenazah kerana saya akhirnya turut akan menaiki kenderaan ini dalam perjalanan 'akhir'.

"Itulah juga yang saya cakap kepada pekerja muda yang bekerja dengan saya agar mereka tidak perlu takut dengan van jenazah," katanya.

Selain Nizam, anaknya, Taufiq Edry,22, antara pelapis yang dilatih meneruskan kerja memperbaiki van jenazah termasuklah keranda.

"Keranda ini menggunakan aluminium yang mana ringan untuk diletakkan dalam van," katanya.

Kata Nizam yang juga lebih mesra dengan panggilan Wak Ijam berkata ketika Covid-19 adalah paling mencabar kerana perlu bekerja dalam keadaan ekstrim.

"Sepanjang melakukan baik pulih van jenazah, paling mencabar ketika Covid. Saya terpaksa ubah suai van jenazah untuk digunakan dua hingga ke tiga jenazah dalam satu masa.

"Daripada bentuk keranda tipikal, saya ubahsuai kepada tiga hingga ke empat tingkat (seperti laci) agar penggunaan van jenazah dapat menampung keperluan itu.

"Bayangkan dengan tempoh singkat, saya perlu menyiapkan van jenazah yang masuk bengkel secara serentak ketika itu" katanya.

Beliau menganggap itu antara asam garam pekerja dalam bidang tukang atau pengimpal besi.

"Saya sudah berpuluh tahun dalam industri pertukangan besi dan berkhidmat dengan banyak syarikat.

Tetapi kerja memberi khidmat membaiki van jenazah dengan syarikat ini memberi kepuasan kepada saya.

VAN jenazah perlu sentiasa dalam keadaan baik agar boleh digunakan ketika memerlukan. FOTO Rohanis Shukri
VAN jenazah perlu sentiasa dalam keadaan baik agar boleh digunakan ketika memerlukan. FOTO Rohanis Shukri

Kenderaan perlu dalam keadaan baik

Usaha majikannya memberi khidmat menyelenggara van jenazah secara percuma adalah khidmat amat diperlukan kariah masjid di kawasan luar bandar.

Mekanik di Azam Motor, Masdar Syum, 65, berkata, dia yang juga turut berperanan sebagai pemandu van jenazah di Masjid At-Taqwa, Banting, tidak menafikan van jenazah perlu diselenggara bag memastikan sentiasa dalam keadaan baik.

"Van jenazah bukan hanya digunakan oleh kariah masjid di kawasan Kuala Langat, adakalanya van jenazah digunakan untuk menghantar jenazah ke luar daerah ini.

"Paling jauh, saya pernah menghantar jenazah ke Pahang berikutan keluarga arwah di sana.

"Ia bukan perkara asing kerana di Kuala Langat atau Banting di sini, kebanyakan penduduknya adalah individu berasal dari negeri lain dan merantau mencari rezeki di sini.

"Biasanya keluarga akan menanggung kos penghantaran atau melalui khairat kematian diuruskan masjid bagi mengendali mengikut keperluan jenazah dan warisnya," katanya.

Dia yang mesra dengan panggilan Wak Mus, kematian kariah atau individu tidak boleh dijangka dan memerlukan van jenazah sentiasa dalam keadaan baik agar boleh digunakan ketika memerlukan.

"Paling penting van jenazah perlu melepasi kelulusan pihak Puspakom ketika rutin berkala setiap enam bulan.

"Van jenazah perlu dalam keadaan baik dan masjid perlu menanggung kos selenggara tinggi untuk memastikan van tiada masalah dengan agensi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 12:01 PM