GAMBAR kenangan pada pagi 1 Syawal bersama arwah ayah yang sentiasa menjadi memori terindah.
GAMBAR kenangan pada pagi 1 Syawal bersama arwah ayah yang sentiasa menjadi memori terindah.
Oleh Syiema Baharom

"Dalam kehangatan nostalgia yang mengalir seperti sungai yang tak pernah surut, kami bersyukur diatas segala nikmat Allah terhadap hamba-Nya.

Namun, 2006 adalah momen terakhir kami merayakan lebaran bersama arwah ayah tercinta, Baharom Bahari. Al-Fatihah untukmu, ayah.

Kami 10 beradik dilahir dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Kehidupan kami dipenuhi dengan susah payah dan juga pahit getir pengorbanan. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Disebabkan hidup kami terlalu susah maka banyak yang mengeji dan berkata buruk terhadap kami. Namun, dengan izin Allah, kami masing- masing berhasil menjadi manusia yang berguna.

Ayah yang bekerja sebagai seorang penjaga surat atau office boy berjuang untuk memenuhi keperluan seharian kami. Bersama mak yang hanya seorang suri rumah, kami menghadapi pelbagai kesusahan. Ayah sangat mengutamakan keperluan makanan kami. Untuk pakaian dan kasut raya pula, kami hanya mengetahuinya saat ayah mendapatkan rezeki pada hujung Ramadan, terkadang hanya sehari sebelum Aidilfitri. Kami 10 beradik diajarkan supaya selalu bersyukur, walau dalam kesusahan.

Pada Aidilfitri, kami berkumpul dan bersalam-salaman. Ayah adalah yang paling sibuk dalam mengatur menu makanan dengan mak. Meskipun serba kekurangan, namun semua persiapan dilakukan secara bergotong-royong termasuk membuat kacang goreng kesukaan ayah. Di sebalik kesempitan, kami berusaha hidup dengan bahagia.

Ayah selalu memastikan makanan yang cukup untuk kami semua.

Kadangkala ayah sering kesempitan wang, oleh itu kami semua bantu-membantu dan bekerjasama. Bak kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.

Biar hidup tidak kaya, asalkan cinta dan kasih sayang kami cukup untuk menemani kami.

Waktu terus berjalan, kami yang kecil sudah meningkat dewasa, tetapi tradisi kami tetap berlanjutan. Pada 2006, raya terakhir bersama ayah.

Terlihat senyum kebahagiaan di wajahnya, saat itu ayah mahu mengecat rumah dengan warna hijau, namun ayah tidak sempat selesaikan hasratnya mengecat rumah.

Hajatnya itu menjadi kenangan manis dan terakhir bersamanya.

Hingga kini, Aidilfitri selalu dinanti, berkumpul dengan keluarga tercinta. Namun, tak pernah tahu apa yang akan terjadi. Kenangan ini akan selalu terpahat di hati, takkan pernah dilupakan.

Kepada semua rakyat Malaysia, pulanglah ke pangkuan keluarga pada Aidilfitri. Semoga kita dapat bermaafan dan merayakan Aidilfitri dengan penuh syukur. Hargailah orang tua kita sementara mereka masih ada.

Selamat Aidilfitri, maaf zahir dan batin."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 9:50 AM