NORZALIFA (berbaju kurung biru) dan suami, Norazlan (berbaju hitam) menerima kunjungan Khairudin serta Mohd Khaizam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NORZALIFA (berbaju kurung biru) dan suami, Norazlan (berbaju hitam) menerima kunjungan Khairudin serta Mohd Khaizam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Ibu kepada dua beradik yang maut dilanggar lari dalam nahas di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, pagi semalam, mengakui bukan mudah untuk dia menerima pemergian dua anak lelakinya itu serentak.

Norzalifa Mohd Yusof, 35, berkata, malam pertama pemergian Allahyarham Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adik, Ahmad Marikh Norazlan, 13, membuatkan dia begitu sukar tidur kerana mengenangkan dua beradik itu.

Malah menurutnya yang ketika itu ditemui bersama suami, Norazlan Tajuddin, 37, bayangan dua anak lelakinya seakan-akan muncul dalam mindanya.

"Nak tidur pun tak boleh. Kalau terlena pun hanya sekejap-sekejap dan terjaga, kemudian apabila hendak lena (sambung tidur) kembali macam terbayang-bayang macam seperti mimpi. Asyik (Marikh) datang cium, abang dia (Zuhal) datang minta maaf pada saya.

"Tak boleh tidur dengan lena malam tadi sebab teringat sampai pagi. Masuk waktu Subuh saya gerak 'kakak' (anak perempuan sulung) ajak dia mandi dan solat. Kakaknya (Puteri Nurdiana, 19) pula malam tadi memang tidur dekat sofa tempat adik (Marikh) selalu tidur.

"Selalu juga adik (Marikh) tidur di rumah neneknya yang terletak hanya bersebelahan rumah kami namun dua malam sebelum nahas di atas sofa ini jugalah 'adik' tidur," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga itu di Kampung Salak Stesen, di sini, hari ini.

Hari ini keluarga itu menerima kunjungan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah serta Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin bagi menyantuni seterusnya menyampaikan sumbangan.

Norzalifa berkata, Aidilfitri yang bakal disambut pastinya hambar susulan kematian anak sulung serta ketiga daripada empat beradik berkenaan, apatah lagi rancangan mereka sekeluarga untuk membeli kelengkapan pakaian raya tidak kesampaian susulan nahas berlaku pada pagi hari sepatutnya mereka sekeluarga membeli baju raya pada sebelah malam.

"Selalunya setiap kali hari raya kami satu keluarga memang pakai baju raya ikut tema warna sedondon. Tahun ini macam tak bermaya (menyambut Syawal), sebab macam tak cukup (ahli keluarga). Lagi pun baju raya kami tak ada beli.

"Kami nak sedih macam mana pun, nak cakap macam mana ianya sudah takdir yang ditentukan Tuhan. Mereka 'pergi' di hari yang mulia (Jumaat), bulan Ramadan yang mulia, malah hari Jumaat terakhir Ramadan ini. Jadi kami terima saja ketentuan ini.

"Memang rasa geram timbul terhadap pelaku yang menyebabkan kematian anak kami. Bukan senang hendak terima apabila nyawa dua anak hilang. Tapi hendak buat macam mana mereka pun sudah 'pergi' di bulan baik ini maka kami reda.

"Hendak menangis macam mana pun kena terima kerana sudah ditentukan ajalnya. Namun untuk raya kali ini kalau sambut pun sekadar menerima kedatangan tetamu atau kawan-kawan yang berkunjung ke rumah kami ini saja. Kampung kami pun hanya dekat-dekat sini saja," katanya.

Sementara itu, Khairudin berkata, kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar itu melayakkan waris menerima faedah menerusi skim takaful pelajar sekolah berjumlah RM5,500 bagi setiap pelajar selain wang khairat kematian RM1,500.

Terdahulu, Mohd Khaizam ketika dihubungi hari ini berkata, pemandu Toyota Hilux yang terbabit insiden langgar lari itu direman empat hari bermula hari ini sehingga Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 5:50 PM