Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Luluh hati seorang ibu apabila rancangannya bersama suami untuk membeli baju raya malam ini tidak kesampaian apabila dua anak lelakinya maut dilanggar lari sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Norzalifa Mohd Yusof, 35, berkata, mereka sekeluarga sudah merancang untuk membeli pakaian raya malam ini, tetapi namun takdir menentukan apabila anaknya Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adik, Ahmad Marikh, 13, meninggal dunia dalam nahas itu.

Lebih memilukan apabila katanya, sebelum ini, Ahmad Marikh kerap bertanya bila mereka akan dibawa untuk membeli baju raya.

"Adik (Marikh) kata dia seronok kerana Aidilfitri akan disambut minggu depan dan selalu bertanya warna tema baju raya mereka sekeluarga.

"Katanya sebab cikgu sudah pesan supaya pakai baju raya seminggu selepas raya, ada sambutan di sekolah," katanya ketika ditemui selepas pengebumian dua anaknya itu di sini, hari ini.

Norzalifa menyiram air di atas kubur dua anaknya, Ahmad Zuhal dan Ahmad Marikh yang meninggal dunia dalam nahas di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini pagi tadi. MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Norzalifa menyiram air di atas kubur dua anaknya, Ahmad Zuhal dan Ahmad Marikh yang meninggal dunia dalam nahas di KM 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini pagi tadi. MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Katanya, sepatutnya, malam Rabu lalu mereka merancang untuk membeli baju raya tetapi dibatalkan kerana suami, Norazlan Tajuddin, 37, kepenatan selepas pulang dari kerja.

Ibu kepada empat anak itu berkata, ketika bersahur pagi tadi Marikh sekali lagi bertanya mengenai warna tema tahun ini.

"Saya sekadar nyatakan belum tahu lagi dan beritahu dia 'tunggu mama dapat gaji kita beli'.

"Masa sahur pagi tadi pun lain sikit sebab biasanya kami kami bersahur di dapur namun hari ini kami bersahur di depan (ruang tamu) bersama satu keluarga," katanya yang terpaksa dipapah akibat kesedihan.

Norzalifa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Kuala Kangsar berkata, dia yang berada di tempat kerja menerima panggilan daripada kenalan yang kebetulan melalui lokasi kejadian memaklumkan anaknya maut akibat kemalangan.

Katanya, dia reda dengan pemergian dua anaknya, tambahan pula pada hari Jumaat dan Ramadan selain dalam perjalanan menimba ilmu.

Jenazah dua beradik dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor, di sini, pada 3.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 5:49 PM