ALLAHYARHAM Nur Izzah Izzati  meninggal dunia pada 26 Januari lalu. FOTO ihsan keluarga
ALLAHYARHAM Nur Izzah Izzati meninggal dunia pada 26 Januari lalu. FOTO ihsan keluarga
Amirul Aiman Hamsuddin


“SAYA nafikan anak saya meninggal dunia kerana koronavirus. Itu tidak betul dan saya sekeluarga kesal dengan tindakan pihak yang menyebarkan maklumat tanpa sebarang usul periksa.

“Malah, video anak saya yang rebah turut tular di laman sosial dan dikongsi tanpa henti oleh orang ramai,” kata Norazlan Mokhri, 47.

Norazlan ialah bapa kepada Allahyarham Nur Izzah Izzati, 20, yang meninggal dunia ketika membeli aksesori telefon bimbit di tempat kerjanya di Seksyen 13, Shah Alam, 26 Januari lalu.

Katanya, dia dan keluarga terkilan apabila ada pihak yang mengatakan punca kematian Allahyarham disebabkan koronavirus.

“Pada hari kejadian, arwah cuti kerana menghadiri majlis pertunangan di Taman Seri Kapar, Sungai Pinang, Klang.

“Kemudian, selepas selesai majlis, arwah ajak saya ke tempat kerjanya untuk membeli aksesori telefon bimbit. Itu kali terakhir saya bersama arwah sebelum dia pergi buat selamanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kata Norazlan, dia mengetahui Allahyarham pengsan selepas seorang rakan memaklumkan kepadanya sebelum bergegas mendapatkan anaknya.

“Kawan arwah memberitahu arwah pengsan dalam kedai. Saya masuk dan terus memeriksa nadinya. Waktu itu, saya lihat arwah tidak sedarkan diri.

“Saya angkat arwah masuk ke dalam kereta dan terus hospital yang kebetulan berhadapan dengan premis itu bersama rakannya. Tiba di hospital, doktor segera memberi bantuan perubatan, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Perbualan antara wartawan dan Norazlan terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenang kejadian yang menimpa anak bongsu dari dua beradik itu.

“Anak yang paling rapat dengan saya, Allah panggil pulang buat selamanya. Sebagai ayah, saya reda walaupun sukar terima hakikat ini.

“Jadi, kepada masyarakat di luar sana yang tak tahu apa apa, hentikanlah sebar video yang mengatakan arwah meninggal kerana koronavirus dan jangan buat tuduhan macam-macam,” katanya yang juga peniaga nasi kukus.

Menurut Norazlan, dia dan isteri, Latifah Adam, 43, berharap individu yang menyebar dan menyimpan video itu dipadam dengan kadar segera.

“Janganlah tuduh punca kematian anak saya disebabkan koronavirus. Kalau kata tak tahu, cakap tak tahu.

“Satu Malaysia tahu video itu. Dalam Facebook (FB), ramai yang ucapkan takziah pada kami sekeluarga. Kami berterima kasih dan dalam masa sama berharap video itu dipadam bagi menjaga aib arwah,” katanya.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dimandikan dan dikafankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum dibawa ke Masjid Jamiul Hasaniah, Kampung Batu Tiga, Klang untuk disembahyangkan.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Belah, Klang, selepas Zuhur semalam.

Terdahulu, tular di Facebook video Allahyarham pengsan ketika membeli aksesori telefon bimbit di tempat kerjanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 4:26 PM