ADINDA sedia tempuh onak dan ranjau sebagai anak seni.
ADINDA sedia tempuh onak dan ranjau sebagai anak seni.
Georgie Joseph


SEDEKAD mencipta tapak kukuh dalam bidang nyanyian, semangat Adinda, 18, tidak pernah luntur mengejar impian untuk bersinar. Matlamat utamanya mahukan bakatnya diraih dan disedari industri hiburan tempatan.

Kalau ikutkan, Adinda atau nama sebenarnya Adinda Tasya Mansor sudah menempa beberapa pencapaian penting. Hakikatnya, kejayaan-kejayaan yang turut merangkumi kemenangan di luar negara itu sangat luar biasa.

Bagaimanapun, anak jati Taiping, Perak ini menyifatkan dirinya masih setahun jagung sebagai anak seni. Kembaranya masih di garisan awal dan terlalu banyak aspek perlu dikejar serta dipelajarinya.

"Memang saya aktif menyanyi dan banyak meraih pengalaman sejak usia sembilan tahun. Tapi ia bukan alasan untuk saya mendabik dada kerana hakikatnya kerjaya saya betul-betul baru bermula.

"Menjadi anak seni yang mampu bertahan lama dalam industri muzik adalah misi saya sekarang. Pencapaian menerusi pertandingan terdahulu bukan penentu adakah saya akan menjadi anak seni yang mampu bersinar.

"Atas kesedaran itulah saya sentiasa ingatkan diri untuk membumi. Kini menginjak dewasa, saya ingin lebih serius jadikan kerjaya nyanyian sebagai pekerjaan serius sampai ke tahap tertinggi," kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Dalam gelanggang nyanyian, bakat hebatnya memang sudah berjaya menangkap perhatian ramai orang industri. Pembabitannya dalam pelbagai program TV besar menjadikan namanya antara yang disebut-sebut mampu pergi jauh.

Terbaru, dia berjaya menjadi finalis dan berentap dengan nama-nama hebat dalam program Masked Singer Malaysia 4. Dia juga pernah dinobatkan juara All Together Now Malaysia pada 2021 yang menampilkan puluhan juri dalam kalangan orang penting industri seni.

Tidak ketinggalan, Adinda mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai program Let's Sing Kid China Musim 4 pada 2016. Kemudian, disusuli kemenangan tempat ketiga Ceria Megastar pada 2020 dan lain-lain pertandingan.

Apapun, Adinda sedar banyak liku harus ditempuh jika mahu meninggalkan impak besar dalam dunia seni. Dia memang sudah bersedia cekalkan hati untuk mencari peluang dan ruang itu.

Katanya, dia menjadikan Aina Abdul sebagai inspirasi terdekat kerana cukup mengagumi perjalanan Aina untuk berada di puncak sekarang. Dia berharap mampu ikut jejaknya walaupun penuh onak dan ranjau.

"Dalam ramai-ramai yang saya idolakan, Aina paling meninggalkan kesan istimewa dalam diri saya. Melihatnya bersinar sekarang, saya amat terinspirasi apalagi melihat ketabahannya mencipta nama walaupun ambil masa sangat lama.

MAHU tingkatkan banyak aspek dalam diri agar ketrampilan menarik.
MAHU tingkatkan banyak aspek dalam diri agar ketrampilan menarik.

"Saat pertama saya didedahkan mengenai Aina, saya terus cari video nyanyiannya di YouTube sejak penyertaannya dalam program Mentor TV3. Corak nyanyian dan karyanya memang agak sama dengan apa saya inginkan.

"Agak sedih juga bila lihat komen-komen negatif diterima Aina. Padahal, dari segi karya muziknya memang cukup hebat dan berada pada kelas tersendiri," katanya.

Menariknya mengenai Adinda, kefasihannya dalam pelbagai bahasa seperti Mandarin, Inggeris, dan Melayu tentu menjadi kelebihan. Khususnya Mandarin, dia akui memang paling selesa menyanyi dalam bahasa itu.

Bagaimanapun, seiring misinya mahu menakluk pasaran arus perdana, dia kini perlu mengasah lagi nyanyian bahasa Melayunya.

Baginya banyak aspek masih perlu diperbaiki agar penjiwaan lebih sampai dengan cemerlang.

"Sudah terbiasa menyanyi dan bertanding mendendangkan lagu Mandarin sejak kecil, saya amat selesa menyanyi bahasa itu sebenarnya. Justeru, saya dapati corak pembawaannya agak berbeza sedikit jika menyanyi lagu Melayu.

"Memang saya fasih juga bertutur bahasa Melayu tapi dari segi penjiwaan itu masih banyak perlu diperbaiki. Itulah antara proses penting yang saya tetap usahakan sebagai pembelajaran," katanya.

Perah otak sempurnakan lagu Goodbye

Sebagai pertaruhan sulung, Adinda cabar diri mempertaruhkan lagu Inggeris berjudul Goodbye yang dilancarkan hujung Februari lalu dan ia bukan tugas mudah.

"Corak nyanyian saya sebenarnya banyak kepada meniru penyampaian penyanyi asal untuk lagu mereka. Tapi apabila kena nyanyi lagu sendiri, saya tidak boleh gunakan cara itu dan harus ada identiti sendiri.

"Oleh kerana Goodbye dalam bahasa Inggeris, saya kena buat kajian dengan mendengar pelbagai lagu Inggeris selama beberapa hari. Antaranya adalah lagu-lagu nyanyian Kelly Clarkson.

"Dengan persediaan itu, proses rakaman sebenar di studio menjadi lebih mudah dan lancar. Namun, harus saya akui agak kekok juga apabila berada di studio rakaman sebenar kerana tidak pernah merasa sebelum ini," katanya.

Selain taraf nyanyian, Adinda juga nekad akan meningkatkan lagi aspek penampilan dirinya. Apalagi dia sedar visual sangat penting demi kelangsungan kerjaya seni pada masa ini.

"Insya-Allah dengan bantuan pengurusan, saya akan terus memperbaiki imej agar tampil lebih menarik. Ini kerana saya sendiri tidak pernah merasa cantik tapi sedar elemen itu memang kena jaga rapi.

"Selama ini pun saya tak ambil pusing apabila imej saya diejek kerana dalam fikiran, saya cuma perlu buktikan bakat. Tapi, kini saya harus tukar pemikiran bahawa segala aspek perlu seiring menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 6:20 AM