ANTARA motosikal di bengkel milik Limbong yang diubah suai.
ANTARA motosikal di bengkel milik Limbong yang diubah suai.
Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Sanggup berhabisan sehingga ribuan ringgit demi mencapai kepuasan diri dan kelihatan bergaya apabila menunggang jentera dua roda.

Berdasarkan tinjauan Metro Ahad di beberapa bengkel motosikal di Lembah Klang mendapati remaja termasuk pelajar mengubah suai motosikal bagi mencantikkan kenderaan mereka.

Lepasan sekolah atau remaja yang mempunyai pendapatan bulanan pula lebih gemar melakukan modifikasi bagi menambah kelajuan motosikal masing-masing.

Pemilik bengkel motosikal dikenali sebagai Wan, 42, berkata remaja yang datang ke bengkel motosikal miliknya berusia seawal 16 tahun.

Menurutnya, bajet paling tinggi untuk mencantikkan motosikal dibuat remaja sekolah ini mencecah sehingga RM3,000.

"Biasanya aksesori yang sering ditukar remaja ini seperti sport rim, coverset, sprocket, swing arm, ECU (Electronic Control Unit) dan ekzos.

"Remaja yang masih bersekolah ini sanggup mengeluarkan belanja kira-kira RM3,000 untuk mencantikkan motosikal dan motosikal yang sering diubah suai seperti Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC," katanya.

Katanya, remaja yang bekerja pula tidak hanya fokus kepada mencantikkan motosikal, sebaliknya menumpukan kepada ubah suai enjin yang bermula dari harga RM5,000.

Pemilik bengkel motosikal lain yang hanya mahu dikenali sebagai Limbong, 40, pula menyatakan motosikal yang sering diubah suai golongan ini seperti Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC, Yamaha RX-Z dan Yamaha 125Z.

Menurutnya, kebanyakan remaja yang datang ke bengkel motosikalnya mahu menambah kelajuan dan mencantikkan jentera dimiliki.

"Antara ubah suai yang dibuat seperti daripada segi blok, CDI, ekzos dan sebagainya. Sebagai contoh, lagi besar saiz bloknya, lagi laju motosikal itu sehingga boleh dibawa pada kelajuan 170 kilometer sejam.

"Remaja yang meminta untuk melakukan pengubahsuaian dan mencantikkan motosikal ini kebiasaannya membelanjakan minimum RM2,000 sehingga maksimum RM4,000," katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel motosikal, Ah Soon, 28, berkata remaja yang datang ke bengkelnya berusia dari 15 tahun dan membelanjakan RM500 sehingga RM1,000 bagi mencantikkan motosikal mereka.

"Aksesori yang ditukar adalah seperti tayar, sport rim, sprocket dan ekzos. Remaja bersekolah ini kebanyakannya untuk cantikkan motosikal.

"Mereka tukar ekzos kerana bunyi bising itu bagi mereka penting untuk keselamatan. Kalau ekzos itu bising, kereta akan tahu adanya kehadiran motosikal.

"Berbanding sekiranya motosikal itu senyap, pemandu kereta tidak mengetahui kehadiran penunggang motosikal ini," katanya.

Malah Ah Soon berkata, dia pernah mendapat permintaan daripada remaja yang ditemani ibu bapa untuk melakukan pengubahsuaian motosikal sehingga kos mencecah RM4,000.

"Motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC sering mendapat pemintaan untuk pengubahsuaian," katanya.

Labur RM6,500 demi 200km/j

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 12:00 PM