KEADAAN di lokasi helikopter AW139 milik APMM terhempas berhampiran Pulau Angsa, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN di lokasi helikopter AW139 milik APMM terhempas berhampiran Pulau Angsa, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Pelabuhan Klang: Helikopter AW 139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, di sini pada jam 9.55 pagi ketika melakukan latihan menyelamat.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, maklumat awal diterima menerusi panggilan Mers 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Caam) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi.

"Helikopter dengan nombor pendaftaran pesawat M72-01 itu diterbangkan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim, "katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua kru helikopter AW139 diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

"Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

"APMM akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca kejadian, "katanya.

Katanya, APMM mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu Carilamat kejadian ini.

"Operasi Carilamat ditamatkan oleh CAAM pada jam 11.15 pagi,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 12:29 PM