Kotak hitam helikopter AW139 milik APMM berjaya ditemui hari ini. FOTO IHSAN APMM
Kotak hitam helikopter AW139 milik APMM berjaya ditemui hari ini. FOTO IHSAN APMM
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Selepas 44 hari pencarian, kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor ditemui hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, misi pencarian itu berakhir apabila pihaknya mengesan ekor helikopter itu di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa, di sini iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

Menurutnya, kotak hitam yang berjaya dinaikkan dari dasar laut kemudian dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku.

"Kami menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pada 28 Mac lalu, operasi pencarian membabitkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Selain penyelam penyelamat APMM yang dikoordinasikan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Selain itu turut menyertai ialah pihak penyedia perkhidmatan pesawat APMM iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Malaysia Selangor.

Dalam kejadian pada 5 Mac itu, pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:59 PM