STACY membuat persembahan selepas diumumkan juara TMSM4.
STACY membuat persembahan selepas diumumkan juara TMSM4.
STACY tak sangka peminat masih mengenali suaranya walaupun menyamar di sebalik maskot.
STACY tak sangka peminat masih mengenali suaranya walaupun menyamar di sebalik maskot.
Najiy Jefri


DIUMUMKAN sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) di sebalik maskot Bunga Matahari, penyanyi Stacy mengaku berdepan pelbagai cabaran sepanjang 10 minggu program itu bersiaran.

Katanya, dia hampir pitam apabila perlu memakai kostum sebesar itu dan dalam masa sama perlu menghiburkan penonton dan juri.

Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, berkata, dia beberapa kali mengalami sakit kepala selain lenguh seluruh badan berikutan bebanan akibat memakai maskot itu.

"Memang mencabar, ada minggu saya mengalami sakit belakang badan dan migrain sebab kostum itu sangat berat.

"Lebih teruk saya pernah hampir pitam atas pentas sebab terlalu panas dan berat. Jadi, saya ambil langkah kurangkan pergerakan ketika membuat persembahan.

"Saya lebih fokus kepada nyanyian sahaja. Tidak dinafikan berat maskot itu sama seperti mendukung anak saya yang beratnya 12 kilogram," katanya.

Mengakui perjalanan mengikuti program itu bukan satu perkara mudah, lebih-lebih lagi terpaksa mengunci mulut daripada mendedahkan identiti kepada umum.

Stacy berkata, dia perlu mematuhi kontrak yang diberikan sehingga terpaksa 'berbohong' dengan ahli keluarga dan peminat.

"Dari awal orang sudah mula 'serang' saya di media sosial kerana yakin saya pemilik suara itu.

"Bayangkan ibu sendiri pun boleh meneka saya adalah Bunga Matahari ketika konsert minggu ketiga, tapi saya tetap kunci mulut.

"Malah setiap kali juri berjaya meneka, saya hanya mampu tergelak dalam kostum itu.

"Saya mungkin gagal kelirukan orang, namun saya anggap ini satu kejayaan kerana berjaya sampai tahap ini," katanya. Dalam masa sama, Stacy tidak menyangka apabila peminat yang satu ketika dahulu mengikuti perjalanan kariernya di Akademi Fantasia musim keenam masih mengenali suaranya.

STACY bersama finalis TMSM4.
STACY bersama finalis TMSM4.

"Bagi saya itu kemenangan sebenar bila peminat mengenali saya walaupun cuba menyamar. Mereka begitu mengenali saya dan yakin Bunga Matahari ialah saya sejak awal walaupun saya mengunci mulut.

"Mereka mesej saya dan beritahu walaupun saya tidak mengaku, tetapi mereka tetap undi dan sokong Bunga Matahari. Anak-anak pun tahu saya Bunga Matahari, mereka dengar saya berlatih menyanyi di rumah. Begitu juga dengan suami," katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan karier seninya dalam dunia nyanyian, Stacy berkata, dia baru saja melancarkan single duet bersama suami tercinta, Akim berjudul Ritma dan Rima.

Katanya, lagu karya itu amat istimewa kerana ia terjemahan rasa cinta mereka terhadap alam dan dihasilkan dari hati.

"Idea tercetus apabila saya mendapat inspirasi melodi korus. Saya kemudian menggarap ilham bersama Akim.

"Selepas tampil dengan lagu Aku Kau Dan Muzik, kira-kira empat tahun lalu, kami merancang teruskan keserasian yang dicipta menerusi duet pertama kami. Percubaan sulung itu akhirnya menemukan kami dengan genre muzik yang sama.

"Lagu ini bercerita mengenai komunikasi kami dengan alam semesta, di mana liriknya berhubung kait dengan fauna, flora, awan dan semua hidupan yang bergerak mengikut rentak serta irama.

"Kelebihan lagu ini kerana alunan setiap bait melodi mengikut tempo dan ritma alam, sekali gus menyuntik elemen segar yang mendorong kita lebih menghargai hidupan di sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 6:00 AM