Keadaan Surau Al-Huda yang dibaling bom petrol sebelum ini.
Keadaan Surau Al-Huda yang dibaling bom petrol sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DUA lelaki yang dipercayai melakukan tindakan membaling bom petrol (molotov cocktail) ke dalam kawasan surau di Damansara Damai, Petaling Jaya Ahad lalu, diberkas polis 3 pagi tadi.

Kedua-dua suspek dijangka akan ditahan reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian sebelum ini, jemaah Surau Al-Huda gempar apabila pintu masuk surau berkenaan terbakar dipercayai akibat dilontar bom petrol.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, terdapat 20 jemaah baru selesai menunaikan solat Subuh sebelum menyedari pintu masuk surau itu dijilat api.

Ahli Jawatankuasa surau berkenaan yang enggan dikenali berkata, kejadian disedari seorang jemaah yang ingin pulang ke rumah selepas selesai solat Subuh.

“Saksi itu kemudian memanggil jemaah lain sebelum memadamkan kebakaran akibat bom petrol berkenaan. Kami bernasib baik kerana bom petrol yang dibaling tidak meletup,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, pihaknya sudah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 11:01 AM