MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengambil tindakan saman kepada pihak yang menggambarkan berlakunya kegiatan rasuah dalam persatuan itu dengan mengaitkan tuduhan terhadap Presiden serta empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO).

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, surat saman itu akan dihantar ke rumah dan pejabat pihak berkenaan dalam masa terdekat.

"Pihak yang bersungguh-sungguh cuba menggambarkan berlaku rasuah RM6 juta dalam KFA dan mengaitkan tuduhan rasuah itu dengan individu tertentu terutamanya Presiden dan kakitangan KFA, sila tunggu surat saman di rumah dan di pejabat masing-masing," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook (FB), hari ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, KFA akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan tuduhan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lama lagi.

Katanya, tuduhan itu sengaja ditularkan demi mencapai tujuan politik pihak tertentu untuk memburukkan KFA dan pemimpin kerajaan Kedah.

Justeru pihaknya akan mendedahkan beberapa dokumen berkaitan bagi menunjukkan kebenaran yang berlaku.

"Dokumen-dokumen yang bersabit dengan penswastaan Kedah Darul Aman FC (KDAFC), permohonan pinjaman RM5 juta, bayaran balik RM1.3 juta, permohonan projek oleh pihak-pihak terbabit yang tidak diluluskan kerana tiada kelayakan, dokumen penyata beraudit yang menunjukkan ketelusan pengurusan kewangan KFA dan lain-lain juga akan didedahkan," katanya.

Semalam media melaporkan Muhammad Sanusi selesai memberi keterangan selepas tiga jam berada di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Kenderaan jenis Mercedes berwarna perak membawa Muhammad Sanusi dilihat meninggalkan ibu pejabat suruhanjaya itu pada jam 11.37 pagi, namun usaha petugas media untuk mendapatkan reaksi beliau tidak berhasil.

Difahamkan, siasatan dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang dijanjikan mendapat projek di Kedah sekiranya menyalurkan dana kepada persatuan bola sepak berkenaan, namun tidak memperolehnya selepas berbuat demikian.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi sebelum ini mendakwa beliau adalah sasaran sebenar pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam KFA, sedangkan dakwanya ada pihak lain sepatutnya dikenakan tindakan dan bukan empat individu ditahan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:04 PM