Aufahanie
Aufahanie
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi lagu Geming Jiwa, Aufahanie, 20, mula belajar memasak dan menyiang ikan pada usia 10 tahun apabila tinggal bersama bapanya selepas orang tuanya itu bercerai.

Pemilik nama sebenar, Nur Aufahanie Mokhtar ini berkata, dia tiada masalah untuk memasak dan menyiang ikan kerana sudah biasa melakukan urusan kerja dapur dan rumah seperti mengemas sejak kanak-kanak.

"Seingat saya, ibu bapa bercerai ketika usia saya sembilan tahun. Jadi, apabila tinggal dengan ayah, saya memang kena buat kerja rumah serta memasak untuk dua abang dan seorang adik perempuan.

"Dari darjah empat hingga tingkatan tiga, saya tinggal dengan ayah. Selain, saya juga pernah hidup sendiri dan tinggal bersama abang. Jadi, saya dah terbiasa buat kerja-kerja dapur dan juga siang ikan.

"Saya memang pandai siang ikan. Cuma, kalau memasak kebanyakan resipi itu saya belajar dari Google atau telefon emak minta resipi," katanya akan menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Komunikasi mulai tahun depan.

Mengulas dakwaan kebanyakan wanita masa kini tidak pandai memasak dan siang ikan, Aufahanie berkata, ia tidak perlu dijadikan isu sebab melakukan urusan kerja dapur boleh dipelajari setiap orang.

"Ada wanita yang tidak tahu memasak langsung ketika usia kanak-kanak, tapi bila dah berkahwin dan ada anak, boleh memasak sebab mereka ada keinginan nak belajar. Jadi, ia bergantung pada diri sendiri.

"Biasalah, ketika masih kecil (kanak-kanak) ada juga ibu-ibu yang tidak gemar biarkan anak gadis masuk dapur sebab tak suka keadaan jadi macam-macam. Tapi, bila dah besar boleh saja belajar masak kalau minat," katanya.

Aufahanie yang turut merakamkam semula lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, sebelum ini pernah menyertai program realiti Vokal Mania dan Big Stage musim kelima.

Baru-baru ini, isu siang ikan hangat diperkatakan netizen apabila tular video memaparkan seorang pengacara wanita didapati tidak pandai menyiang ikan dalam sebuah program bual bicara yang bersiaran secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 11:55 AM