Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemilik gedung tekstil terkemuka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan bersubahat menyebabkan kecederaan parah bekas hakim, Oktober lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Pavitar Singh Manjeet Singh, 54, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang juga Pengerusi Gurdwara Sahib Titiwangsa didakwa dengan sengaja bersubahat bersama Muhammad Shahrulnizam Mohd Maimun dan Muhammad Asyraf Sharin menyebabkan cedera parah ke atas abang ipar yang juga peguam, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, 67, menggunakan pemutar skru di pejabat di Solaris Dutamas, Publika, di sini pada 12.50 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap taikun perniagaan itu.

Bagaimanapun, peguam Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Pavitar memohon jaminan minimum atas alasan menjadi penanggung utama kepada isteri dan seorang anak.

"Anak guam juga adalah Pengerusi Gurdwara Sahib Titiwangsa dan mempunyai hubungan rapat dengan komuniti, selain tiada risiko untuk melarikan diri.

"Tertuduh memberi kerjasama selama empat hari ditahan dan ini kali pertama dia didakwa di mahkamah," katanya.

Hakim Siti Aminah kemudian membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang hartawan ditahan selepas berlaku pertelingkahan keluarga membabitkan harta pusaka.

Kedua-dua penyerang didakwa mencederakan bekas hakim dan rakan kongsinya menggunakan pemutar skru menyebabkan salah seorang daripada mereka patah bahu.

Seorang lagi mangsa berusia 31 tahun mengalami kesan tikaman di kepala, pipi, tapak tangan dan belakang tangan kiri.

Penyerang, Muhammad Asyraf dan Muhammad Shahrulnizam sudah didakwa melakukan jenayah itu pada 25 Oktober lalu di mana mereka mengaku bersalah di hadapan Hakim Sesyen Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan sebatan.

TERTUDUH (dua kanan) di Mahkamah Sekysen Jenayah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
TERTUDUH (dua kanan) di Mahkamah Sekysen Jenayah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 12:42 PM