CHIA sebelum ini terlalu sibuk dengan kerja sehingga abai keperluan diri.
CHIA sebelum ini terlalu sibuk dengan kerja sehingga abai keperluan diri.

Kuala Lumpur: Melihat pada perwatakannya yang ceria, sukar untuk ditelah Jenn Chia, pencipta kandungan dan pempengaruh terkenal tanah air, pernah bergelut dengan isu kesihatan mental.

Ditemui Bernama pada pelancaran kempen Find Your Well Being anjuran pengeluar pakaian sukan mewah di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini, wanita berusia 32 tahun itu yang juga duta jenama berkenaan, secara terbuka mengakui pernah mengalami kemurungan.

Cerita beliau, segalanya bermula apabila dunia dikenakan sekatan pergerakan gara-gara Covid-19 dan masyarakat beralih kepada dunia siber dengan media sosial menjadi pilihan utama untuk berhibur dan berinteraksi. Keadaan ini membuka peluang rezeki yang luas buat pempengaruh dan pencipta kandungan sepertinya.

Namun kata Chia, durian runtuh itu juga membawa keburukan kepada mereka, kerana sepanjang tempoh dua tahun tersebut, penggiat media sosial sepertinya berdepan tekanan bagi menghasilkan kandungan yang unik secara konsisten demi memastikan masyarakat terus terhibur dan mengikuti saluran mereka.

Ujarnya, pada masa itu, tahap stres beliau meningkat tatkala sempadan antara kerja dan kehidupan seakan tidak lagi wujud. Justeru, tidak menghairankan apabila beliau mengalami gangguan jiwa.

"Apabila rezeki datang mencurah-curah dan anda bekerja bagaikan tiada hari esok, anda berada dalam mode survival. Ketika itu anda tidak lagi endahkan emosi anda," katanya.

"Saya rasa berdebar-debar, cemas. Tangan saya menggigil. Kemudian saya sedar bahawa saya sedang alami serangan panik akibat keletihan. Dari situlah saya sedar yang saya mengalami depresi yang teruk."

Menggambarkan pengalaman itu sebagai "menakutkan", Chia berkata, beliau mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri yang menasihatinya supaya mendepani dan menangani isu tersebut agar beliau tidak terbawa-bawa dengan perasaan berkenaan.

Sedar bahawa beliau telah mengorbankan aspek lain dari segi kesejahteraannya semata-mata mahu menghasilkan kesempurnaan, Chia bertekad untuk tidak lagi mengabaikan keperluan diri.

Apabila berbicara tentang kesihatan mental - kebanyakannya berkait dengan ketidakmampuan mengurus tekanan hidup dan bukan penyakit mental - amat mudah untuk melupakan aspek lain seperti fizikal, sosial, kerohanian dan intelektual. Disebabkan oleh kegagalan mengambil endah akan aspek terbabit, maka ramai yang begitu mudah terbawa-bawa dan sukar bertindak balas dengan baik apabila berdepan masalah hidup.

"Saya abaikan kesemua (aspek) itu dan hanya tumpukan pada kerja. Justeru, apabila tubuh saya tidak lagi dapat menerima keadaan tersebut, saya anggap itu adalah satu amaran yang membuka mata saya," kata Chia.

Seperti kebanyakan perkara dalam hidup, menyeimbangkan dimensi kesejahteraan adalah amat penting bagi mengekalkan kesihatan mental yang baik. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ada empat dimensi utama yang saling berkait dan boleh menjejaskan antara satu sama lain.

Satu daripada dimensi itu ialah fizikal yang tidak perlu lagi dijelaskan. Pakar Kesihatan mental menegaskan kepentingan aktiviti fizikal dalam mengekalkan kesejahteraan. Banyak penyelidikan, antaranya kajian semula 'Peranan Aktiviti Fizikal ke atas Kesihatan Mental dan Kesejahteraan' yang diterbitkan dalam Cureus Medical Journal pada 2023, menemukan kegiatan fizikal termasuk yoga, dapat mencegah stres dan kebimbangan serta mempunyai manfaat fizikal, antaranya mengurangkan rintangan insulin dan meningkatkan kualiti tidur.

Kesejahteraan sosial bermakna mengekalkan dan membina perhubungan yang sihat, mengambil berat serta berinteraksi dengan individu lain. Akan tetapi, ini tidak bermakna sosialisasi atau bersosial.

Perunding psikiatri di KPJ Sentosa Specialist Hospital Dr Mastura Rosly berkata hal ini lebih kepada berhubung semula dengan orang yang penting dan bermakna dalam hidup kita.

"Ada individu yang mempunyai keluarga besar atau ramai kawan, namun ini tidak bermakna hubungan yang terjalin itu adalah mendalam atau bermakna," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Zoom.

Situasi ini terserlah di media sosial, iaitu ahli masyarakat saling berinteraksi namun hubungan yang terjalin itu sekadar berbasa-basi.

Kajian University of Chicago bertajuk "Association of Facebook Use With Compromised Well-Being: A Longitudinal Study" pada 2016 dan diterbitkan dalam American Journal of Epidemiology, mendapati penggunaan kerap media sosial berhubung kait dengan kesihatan mental yang teruk. Bagaimanapun, individu yang mempunyai kawan di dunia nyata serta rapat dan sentiasa berinteraksi dengan mereka dilaporkan mempunyai kesihatan mental yang lebih baik.

Cara berinteraksi juga penting. Ramai pengguna yang berbual secara langsung dengan orang lain melalui panggilan video atau telefon dilaporkan berasa gembira, mendorong penyelidik merumuskan bahawa perbualan sebenar adalah lebih baik berbanding sekadar pesanan teks.

Sebagai pakar media sosial, Chia tahu betapa pentingnya berhubungan secara mendalam, justeru beliau kini memperuntukkan masa untuk pasangannya serta orang tersayang. Tegas beliau, meluangkan masa bukan sekadar berada di sisi mereka secara fizikal tetapi juga dari segi mental dan emosi.

"… iaitu benar-benar memberi perhatian kepada mereka dan mendengar cerita mereka," katanya.

Berkenaan dimensi ketiga, iaitu kerohanian, Dr Mastura memberitahu Bernama agar tidak menyamakan aspek itu dengan kewarakan.

"Apabila kita bercakap tentang kerohanian sebagai sebahagian daripada proses seseorang menguruskan kesihatan mental, ini adalah tentang keterkaitan dengan orang atau benda atau alam sekitar kepada sesuatu yang lebih besar daripada anda," jelasnya.

"Konsep altruisme, iaitu anda lakukan sesuatu bukan untuk diri sendiri tapi demi orang lain atau untuk tujuan yang lebih besar, itulah kerohanian sebenar. Tidak semestinya ritual agama itu adalah kerohanian kerana anda perlukan hubungan yang lebih mendalam."

Intelektual pula merujuk kepada kesihatan otak. Menurut pakar kesihatan mental, amat penting bagi seseorang melakukan aktiviti merangsang mental yang memberi inspirasi dan mencabar mindanya.

Penyelidikan terbaharu menunjukkan lebih ramai ahli masyarakat yang sedar dan menganggap kesihatan mental sebagai penting, terutama pasca-Covid-19. Indeks Kesejahteraan Global 2023 yang dilaksanakan di 14 negara melibatkan 14,000 responden, menemukan lebih ramai ahli masyarakat mengambil berat tentang kesihatan mental selepas Covid-19. Sejumlah 67 peratus daripada responden meletakkan kesihatan mental sebagai keutamaan teratas, namun 44 peratus berasa mustahil dapat merealisasikan kesihatan mental sebagai keutamaan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 7:02 AM