Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Sunyi dan lengang. Itu situasi di deretan gerai jualan lemang di Kijal susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula Mei lalu.

Sebelum ini, kawasan berkenaan sentiasa menjadi tumpuan ramai terutama buat penggemar hidangan berasaskan pulut yang menggunakan laluan berkenaan tanpa mengira musim.

Beberapa peniaga yang ditemui melahirkan rasa sedih memandangkan pendapatan mereka terjejas kerana kekurangan pelanggan selain resah memikirkan nasib mereka jika PKP berlarutan dalam tempoh yang lama.

Peniaga, Zabidah Ismail, 51, berkata, dia hanya mampu menjual antara 30 hingga 40 batang sehari berbanding lebih 100 batang sehari sebelum ini.

Katanya, dia menyediakan kira-kira 30 kilogram (kg) pulut setiap hari sebelum pandemik Covid-19 melanda negara yang membawa kepada pelaksanaan PKP, namun kini hanya mampu menyediakan sebanyak 15 kg setiap hari kerana kekurangan pelanggan selain masa operasi yang terhad.

"Perniagaan sebelum ini banyak bergantung kepada orang luar namun pelaksanaan PKP yang mengehadkan perjalanan rentas negeri dan daerah memang menjejaskan hasil jualan," katanya yang sudah 28 tahun mengusahakan perniagaan lemang.

Zabidah Ismail,51, resah memikirkan nasib perniagaan lemangnya yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zabidah Ismail,51, resah memikirkan nasib perniagaan lemangnya yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Menurut Zabidah, sebelum ini dia dibantu suami namun kini melakukannya sendirian dengan bantuan anak-anak selepas suami mempunyai masalah jantung.

"Walaupun pendapatan merosot lebih 50 peratus tetapi saya terpaksa juga berniaga kerana mempunyai komitmen bulanan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd Alif Hafiz Kamaludin, 23, turut resah memikirkan nasib dia dan peniaga lemang yang jika PKP berterusan.

"Perniagaan kali ini lebih teruk terjejas berbanding PKP 1.0 apatah lagi pelaksanaan PKP 3.0 bermula sehari sebelum Syawal iaitu pada 12 Mei lalu.

"Kami banyak bergantung kepada orang luar namun kini hanya berharap kepada penduduk setempat," katanya yang berharap pergerakan rentas daerah dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 3:15 PM