BEDAK, sabun dan ubat gigi antara ‘sajian’ penderita pika. FOTO Arkib NSTP
BEDAK, sabun dan ubat gigi antara ‘sajian’ penderita pika. FOTO Arkib NSTP
Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: 'Mengidam' atau keinginan yang tinggi untuk makan sesuatu yang bukan makanan masih bukan perkara normal meskipun untuk ibu mengandung.

Antaranya bedak, sabun dan ubat gigi dikatakan antara kerap menjadi 'sasaran' oleh segelintir individu yang mendakwa ia didorong oleh 'selera' bayi dalam kandungan.

Biarpun kedengaran 'pelik' hal ini benar-benar berlaku dalam masyarakat dan masalah itu dikenali dengan penyakit pika iaitu gangguan makanan. Ia juga boleh menjadi gejala kepada gangguan mental yang serius.

Tidak hanya wanita mengandung dan kanak-kanak memiliki kecenderungan melakukan perbuatan itu, pika juga bermula dengan tabiat buruk yang pernah dilakukan setiap orang tanpa mengetahui ia adalah masalah serius.

Pengakuan penderita pika, Ainna (bukan nama sebenar) mempunyai tabiat gemar 'meratah' bedak muka berasa ia cuma kesukaan yang unik.

Menurut gadis berusia 28 tahun itu, kegemarannya adalah memakan bedak muka sejak lebih 13 tahun lalu dan semakin ketara sejak kebelakangan ini.

"Saya tidaklah makan bedak sampai kenyang, tetapi menjamah untuk rasa 'puas' dan (makan bedak muka) menjadikan hari itu lengkap buat saya.

"Apatah lagi sejak kebelakangan ini saya rasa tertekan dengan masalah di tempat kerja, dapat mengunyah bedak sikit seolah-olah menjadi ubat penenang.

"Pada saya, tabiat makan bedak muka bukanlah masalah sehinggalah perbuatan itu ditegur rakan serumah agar bertemu dengan pakar psikologi," katanya.

Jika tidak dapat menjamah 'sajian' kegemarannya itu, Ainna mengaku dia lebih mudah terganggu sehingga sukar melakukan urusan harian.

"Saya pernah keluar pejabat ketika waktu kerja semata-mata untuk pergi membeli bedak muka. Saya tertinggal bedak muka di rumah dan berasa gelisah dan serba tidak kena.

"Macam 'orang hilang anak' dan saya rasa masalah makan bedak sudah menguasai hidup saya," katanya.

Ainna berkata, dia pernah beberapa kali cuba menahan diri atau menghentikan perbuatan makan bedak, tetapi gagal.

"Saya pernah cuba alih 'selera' kepada coklat dan cuba 'psiko' diri sendiri dengan menganggap coklat sama seperti bedak.

"Tetapi percubaan itu gagal apabila saya kembali kepada tabiat memakan bedak muka. Ia bukanlah hari-hari tetapi ada mood 'craving' itu bila datang susah hendak kawal," katanya.

Ainna juga memaklumkan tabiat itu tidak diketahui keluarganya kerana perbuatan itu sekali-sekala apabila 'selera' itu datang.

"Setakat ini tiada pula gejala atau rasa kurang selesa selepas makan. Maksudnya tiada insiden sakit perut atau muntah-muntah.

"Sebaliknya saya rasa teruja dan 'puas' seperti selera dapat dipenuhi apabila dapat menjamah bedak muka. Saya hanya gigit atau makan dalam jumlah sedikit. Kata orang buat rasa-rasa," katanya.

Suka makan selipar selepas dibuli pelajar senior

Bermula dengan menjadi mangsa buli dengan dipaksa menggigit atau mengunyah selipar oleh pelajar senior ketika bersekolah asrama, Ahmad (bukan nama sebenar), 27, mengakui mula melihat selipar sebagai snek ringan.

Kata Ahmad, ada kalanya bau selipar getah baharu dirasakan seperti aroma makanan sebenar sehingga dia menikmatinya seperti gula-gula getah atau gula-gula kenyal.

"Kalau dapat gigit selipar getah, rasa macam mengunyah gula-gula getah. Rasa lembut dan ada satu bau pada selipar getah ini yang membuat saya rasa leka dan menenangkan.

"Daripada segi rasa, sebenarnya kosong. Tetapi ia memberi kepuasan apabila saya mengunyah selipar sehingga menjadi kecil. Pada satu tahap, saya pernah tertelan getah selipar kerana terlalu 'sedap'," katanya.

Kata Ahmad, perbuatan itu bukanlah kerap atau konsisten dilakukan seperti makanan ruji.

"Saya makan atau mengunyah selipar apabila stres. Ketika pandemik, tabiat memakan selipar lebih kerap kerana terlalu bosan dan tertekan dengan rutin kerja sendirian di rumah.

"Saya sendiri tidak pasti sejak bila ada keinginan makan selipar Jepun. Apa yang pasti saya mula tabiat mengunyah ketika zaman sekolah. Saya yang ketika itu berada di tingkatan dua sering menjadi sasaran senior nakal.

"Saya dan kawan saya sering disuruh menggigit selipar getah dan bermacam lagi objek sehinggalah perbuatan itu dirasakan perkara biasa," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kata Ahmad, meskipun perbuatan itu kedengaran jelik, tetapi dia berasa memakan selipar Jepun dapat memenuhi selera tekaknya.

"Pernah saya kongsikan tabiat itu dengan kawan rapat dan mereka menganggap saya bergurau sehinggalah saya makan di depan mereka.

"Mereka terdiam dan menyuruh saya menghentikan perbuatan yang merbahaya itu. Bagi saya ia seperti snek enak yang melekakan setiap kali mengunyahnya.

"Lagi lembut lagilah saya rasa seronok. Ada juga rakan saya berkata ia fetish tetapi apabila saya rujuk di internet masalah saya ini lebih kepada gangguan makanan.

"Mereka minta saya mendapatkan bantuan pakar kerana perkara itu tidak normal. Saya rasa ia masih lagi terkawal kerana saya tidak melakukannya selalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 12:00 PM