GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Cadangan mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan terdahulu nyata mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak, lebih-lebih lagi tatkala negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Ada mencadangkan penambahbaikan sekiranya PLKN diperkenal semula, namun tidak kurang yang kurang bersetuju kerana berpendapat langkah memulihkan ekonomi negara perlu diberi keutamaan buat masa ini.

Untuk rekod, PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun, manakala purata perbelanjaan sebanyak RM600 juta setahun.

Ia kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan dan diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.

Mengulas isu itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil yang berkhidmat sejak 2007 hingga 2014 berkata, sekiranya diberi pilihan, sudah tentu pembangunan ekonomi perlu diberi keutamaan buat masa ini ketika negara menyaksikan kadar pengangguran yang tinggi akibat Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, PLKN tidak perlu ditinggalkan secara total memandangkan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) masih wujud dan buat permulaan, kerajaan mungkin boleh memikirkan perkara asas, kajian serta kesesuaian untuk menghidupkan semula program berkenaan tanpa menggunakan kos yang banyak.

"Kerajaan perlu utamakan peluang ekonomi, peluang pekerjaan, pada masa sama PLKN boleh dihidupkan dengan kos minimum mengguna pakai kemudahan yang ada dan modul lama, tidak membabitkan perbelanjaan besar, guna kepakaran serta prasarana sedia ada sekiranya dana mencukupi," katanya.

Menyedari terdapat banyak kritikan terhadap pelaksanaan program itu yang dikatakan membazir dan kononnya tidak mencapai objektif utama, Abdul Hadi berkata, PLKN sebenarnya masih sangat relevan buat masa ini terutama untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan belia.

Malah, katanya, menerusi kajian keberkesanan PLKN yang dijalankan ke atas 61,950 bekas pelatih, ibu bapa, majikan dan masyarakat umum pada 2010 mendapati program itu berjaya memupuk semangat kesetiaan serta kecintaan kepada negara dengan pencapaian 83.86 peratus.

"Kalau kata PLKN tak berjaya, itu tak ada asas, orang yang sudah pergi saja yang tahu," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 memaklumkan pihaknya mencadangkan program yang dilihat mempunyai kesan baik ke atas semangat patriotisme itu diwujudkan semula.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun berkata, sekiranya ingin diwujudkan kembali, PLKN perlu dijenama semula bagi memastikan objektifnya untuk memupuk semangat perpaduan dan patriotisme anak muda tercapai dengan menjadikan Rukun Negara sebagai asas latihan.

Modulnya perlulah banyak merujuk kepada PLKN 1.0 yang lebih memberi impak seperti aktiviti fizikal, silang budaya, menitikberatkan nilai ketimuran dan mungkin boleh dipanjangkan kepada enam bulan agar boleh dilaksanakan dengan lebih baik serta tertib.

Namun, katanya, keutamaan pada ketika ini mesti diberikan kepada strategi berhadapan dengan Covid-19 terutama dalam aspek pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi ketika menyaksikan hampir 800,000 kehilangan pekerjaan akibat pandemik itu.

Menyifatkan PLKN sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan belia yang menjadi pemangkin perpaduan negara, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, program pembangunan sahsiah dan jati diri seumpama itu perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan Rukun Negara perlu dijadikan idealisme utama terhadap modul yang ingin diperkenalkan kelak.

Bagaimanapun, beliau meminta pihak berkaitan mengkaji terlebih dahulu kesesuaian cadangan tarikh dan masa pelaksanaan memandangkan penularan pandemik Covid-19 ketika ini dan paling penting, sekiranya program ini ingin dijalankan secara serentak di seluruh negara, penilaian risiko hendaklah dijalankan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Pekerja swasta, Siti Sarah Hassan, 30, berkata walaupun PLKN mampu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan peserta selain menjadi mekanisme bagi pembentukan disiplin diri remaja, kerajaan perlu melihat kewajaran untuk mewujudkannya kembali ketika negara masih dilanda pandemik.

"Pelaksanaan program itu sudah pasti menelan belanja yang besar dan ia sepatutnya digunakan untuk menangani kesan penularan Covid-19, contohnya dalam meningkatkan ekonomi negara dan membantu golongan yang terkesan," katanya.

Bagi bekas jurulatih PLKN, Siti Nurwani Mat Rais, 38, yang berkhidmat selama 10 tahun di tiga kem PLKN, cadangan pewujudan semula program itu amat wajar terutama sekali dalam memupuk nilai patriotisme dalam diri remaja.

Siti Nurwani yang berkhidmat kali terakhir di Kem PLKN Pelangi Hill Resort, Kerling, Hulu Selangor, berkata, program PLKN sebelum ini turut dijadikan panduan kepada beberapa negara untuk program pembangunan remaja mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:00 AM