SITI Kamsiah menunjukkan keadaan bilik temu duga kanak-kanak. FOTO ASWADI ALIAS
SITI Kamsiah menunjukkan keadaan bilik temu duga kanak-kanak. FOTO ASWADI ALIAS
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ibu bapa dikesan sebagai golongan merekodkan jumlah kes tertinggi berkaitan penderaan kanak-kanak dan remaja bawah umur.

Perkara itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berdasarkan statistik terkumpul sejak 2018 hingga Jun lalu.

Menurutnya, 1,505 kes diterima pihaknya sepanjang tempoh itu membabitkan suspek ibu bapa kepada mangsa penderaan.

"Secara keseluruhan, ada 3,264 kes dera diterima sepanjang tempoh itu dengan 2,148 kes membabitkan ahli keluarga mangsa sendiri termasuk ibu bapa.

"Daripada jumlah itu, 787 kes membabitkan bapa sebagai suspek manakala 717 kes direkodkan (suspek) ibu kepada mangsa.

"Selain ahli keluarga, ada 1,116 kes penderaan dilapor membabitkan pengasuh, pembantu rumah, pasangan ibu bapa sama ada teman lelaki atau teman wanita, guru, majikan, suami pengasuh, penjaga dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman di sini.

Menurutnya, 3,666 kanak-kanak dan remaja bawah umur dilapor menjadi mangsa penderaan sepanjang tempoh berkenaan.

"Daripada 3,666 mangsa terbabit, 2,094 mangsa lelaki manakala 1,572 lagi mangsa perempuan.

"Dari segi lingkungan umur, kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun merekod jumlah mangsa tertinggi dengan 1,484 mangsa iaitu 40 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Berdasarkan statistik mengikut negeri pula, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,236 kes daripada 3,233 kes dera dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai kes buang bayi pula, beliau berkata, sebanyak 582 kes dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh sama.

"Daripada jumlah itu, lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Selangor dengan 133 kes diikuti Johor (73), Sabah (71), Kuala Lumpur (55) dan Kedah (37).

"Berdasarkan statistik, sebanyak 551 bayi dilaporkan dibuang sepanjang tempoh itu dengan 377 daripadanya adalah bayi baru lahir iaitu 68 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala 174 lagi ditemui dalam bentuk janin.

"Daripada jumlah itu juga, 180 atau 32 peratus bayi ditemui adalah lelaki manakala 26 peratus atau 144 bayi perempuan manakala 42 peratus lagi atau 227 bayi atau janin tidak diketahui jantina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 7:00 AM