DR Aisyah berjaya dalam pelbagai pertandingan bina badan tempatan dan antarabangsa.
DR Aisyah berjaya dalam pelbagai pertandingan bina badan tempatan dan antarabangsa.
Hafiz Ithnin


Melalui pelbagai cabaran sepanjang menjalani rawatan akibat kanser, ketiga-tiga wanita ini bangkit semula melalui aktiviti sukan yang mereka gemari.

Kehebatan mereka di dalam dunia sukan masing-masing tidak boleh disangkal lagi selepas berstatus pemandiri kanser dan masih di bawah pemantauan.

Ada antaranya menjadi atlet bina badan yang sudah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Lebih menarik dua daripada mereka mempunyai kerjaya sebagai doktor perubatan yang 'sado'.


Dr Aisyah Asmadi, 39.

Layak digelar doktor 'sado'. Bentuk badannya yang sasa sehingga berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di peringkat nasional dan mengharumkan nama Malaysia di luar negara menerusi kejuaraan bina badan tidak dapat disangkal lagi.

Siapa sangka di sebalik bentuk fizikal yang tegap dan sudah meraih pelbagai kejayaan, wanita berusia 39 tahun itu sudah berstatus pemandiri kanser payudara sejak 10 tahun lalu.

Menyingkap permulaannya menghidapi kanser payudara pada 2006, ketika itu pemilik nama Dr Aisyah Asmadi masih menuntut di dalam bidang perubatan di International Medical University (IMU).

Dr Aisyah berkata, ketika mempelajari ujian pengesahan kanser tanpa disangka dirinya sendiri mempunyai penyakit itu.

"Sebagai pelajar perubatan saya sendiri amat terkejut apabila mendapati saya mempunyai kanser payudara. Memandangkan ketika itu adalah sesi pembelajaran," katanya.

DR Aisyah sentiasa komited ketika berlatih.
DR Aisyah sentiasa komited ketika berlatih.

Dr Aisyah dua kali disahkan menghidapi kanser iaitu pada 2006 dan 2011. Kali pertama ketika masih menjadi pelajar dan kali kedua, ketika sudah menjadi doktor perubatan di Sabah.

Jelasnya, sepanjang disahkan menjadi pesakit kanser dia menjalani pelbagai rawatan termasuk perlu berdepan dengan prosedur pembedahan.

"Menjadi pesakit kanser bukan sesuatu perkara yang mudah. Saya bukan sahaja perlu merasa kesakitan akibat penyakit itu, malah kesakitan proses rawatannya tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Malah, kesihatan mental turut terjejas. Saya merasakan segala-galanya amat sakit. Namun, saya tidak terus tenggelam dengan situasi itu dan cuba bangkit dengan melakukan aktiviti kecergasan," katanya.

Katanya, episod dia menjadi seorang atlet bina badan adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka kerana pada mulanya dia hanya ke gimnasium untuk mengembalikan stamina selepas melalui pelbagai episod sukar sebagai seorang penghidap kanser.

"Ketika di gimnasium, bakat saya mula dihidu oleh jurulatih saya iaitu Zack Ermi Zulkifli yang melihat saya mempunyai potensi di dalam sukan bina badan.

"Pada 2015 saya menyertai kejohanan bina badan pertama, Women Physique and Fitness Men of Steel. Saya mendapat tempat ketiga!," katanya.

Sejak itu, Dr Aisyah tidak lagi memandang belakang di dalam sukan berkenaan dan menyertai pelbagai kejohanan bina badan.

Paling tidak dapat dilupakan pastinya pada tahun lalu, dia berjaya mendapat tempat ketiga menerusi kejohanan bina badan antarabangsa, Nabba International 2022 di United Kingdom.

Meskipun dia sudah mencipta pelbagai kejayaan di dalam sukan yang disertai, Dr Aisyah berkata, kesan akibat kanser masih dirasai terutama membabitkan kesihatan mental.

Katanya, paling serius dia mengalami tekanan pada 2019 sehingga 2020. Dia perlu mendapatkan rawatan daripada pakar di dalam bidang kesihatan mental.

"Lebih memberi tekanan, saya mendapat penyakit jantung kesan daripada jangkitan Covid-19 iaitu Covid Myocarditis.

"Bagaimanapun saya cepat bangkit daripada segala masalah kesihatan yang dialami menerusi aktiviti kecergasan yang dilakukan. Aktiviti ini memberi kelebihan kepada saya kerana merasakan ingin terus berjuang di dalam sukan bina badan yang amat saya gemari," katanya.

Bagi Dr Aisyah, pelbagai latihan sukar sudah dilalui untuk mencapai ke peringkat terbaik di dalam sukan itu dan masalah kesihatan perlu cepat diselesaikan untuk dia kembali melakukan aktiviti kecergasan yang digemari.

"Kini saya dalam persiapan untuk kejohanan Dunia, NABBA Universe 2023, yang berlangsung di United Kingdom pada Oktober ini," katanya yang kini mengalas tugas sebagai perunding perubatan kecergasan.

AKTIVITI perlumbaan larian denai menjadi minat Najmi.
AKTIVITI perlumbaan larian denai menjadi minat Najmi.

Tak pernah fikir barah akan jadi penamat riwayat


Noran Najmi Rosmi, 42.

"Pada mulanya apabila disahkan menghidapi kanser limfoma. Reaksi masih lagi tertanya-tanya. Tiada perasaan sedih, tetapi merasa seakan tidak percaya," kata wanita berusia 42 tahun itu.

Dia merasakan penyakit itu seperti mustahil berlaku ke atas dirinya kerana dia menjalankan gaya hidup sihat dan aktif melakukan pelbagai sukan lasak antaranya berlari denai sehingga berjarak ultra.

Sejak berkahwin pada 2005, dia adalah seorang isteri dan ibu yang amat menyukai aktiviti lasak seperti mendaki, berbasikal gunung, menyertai pelbagai acara larian dan berbasikal kembara.

Sehinggalah pada penghujung 2020 ketika melakukan aktiviti berbasikal dia merasakan cepat letih dan dahaga.

Ketika makan pula dia merasakan seperti tersangkut makanan di tekak.

Akhirnya dia membuat pemeriksaan dan disahkan mempunyai ketumbuhan di dada yang memerlukan pembedahan.

Selepas proses pembedahan itu dilakukan, dia mula didapati mempunyai kanser limfoma iaitu primary mediastinal large B cell lymphoma.

Dia yang lebih mesra disapa Najmi berkata, selama setahun dia menderita ketika melakukan pelbagai prosedur rawatan untuk melawan kanser itu.

"Paling tidak dapat dilupakan ketika kali pertama saya melakukan kemoterapi. Rambut saya semuanya luruh. Kesan ubat pula menyebabkan badan menjadi begitu lemah.

"Apatah lagi, dari segi emosi begitu sukar untuk melawan rasa sakit yang dihadapi. Ketika menjalani rawatan baru saya menangis kerana perlu menahan kesakitan," katanya.

Ketika ini Najmi berstatus pesakit kanser pengurangan atau kehilangan untuk sementara gejala utama dan masih di bawah pemantau tetapi berada pada tahap stabil memandangkan badannya boleh menerima rawatan yang diberikan.

Katanya, ketika berdepan dengan cabaran melakukan rawatan dia tidak boleh mendengar atau membaca perkara negatif.

"Tambahan ketika itu Covid-19 berlaku. Saya menjadi seorang yang tidak mahu tahu mengenai perkara yang negatif kerana merasakan ia sesuatu yang boleh mengganggu emosi.

"Dalam tempoh menjalani rawatan itu, saya juga tidak boleh menafikan rasa bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang amat kuat daripada keluarga terutama suami, ibu dan ibu mentua saya. Mereka adalah insan yang banyak memberikan kata-kata semangat," katanya.

Jelasnya, motivasi terbesar ketika melalui detik sukar itu adalah dia ingin kembali melakukan aktiviti lasak yang sudah sebati dengan jiwanya.

"Saya tanamkan dalam diri untuk sihat cepat kerana ingin berbasikal kembara, menyertai acara berbasikal dan berlari.

"Sedikit pun saya tidak fikir mengenai penyakit ini akan menamatkan riwayat saya kerana saya fikir perkara yang ingin dilakukan selepas ini dan bukan meletakkan ia sebagai satu noktah dalam hidup," katanya yang turut menasihatkan perkara sama kepada pejuang kanser yang lain.

Selepas setahun melakukan rawatan, Najmi mula melakukan aktiviti kecergasan yang digemarinya secara perlahan-lahan.

"Ketika memulakan kembali, saya masih menjalani rawatan kemoterapi tetapi di pusingan terakhir. Saya mula berjalan di sekitar taman perumahan bersama suami.

"Sedikit demi sedikit saya berbasikal pula. Akhirnya saya mendapat kembali stamina dan mula menyertai acara larian serta kejohanan sukan lasak yang dirindukan. Saya meletakkan sasaran untuk menyertai acara larian 100 kilometer (km) pula selepas ini," katanya.

GAYA hidup sihat membantu Dr Syazana terus kuat melawan kanser.
GAYA hidup sihat membantu Dr Syazana terus kuat melawan kanser.

Segera terima kenyataan untuk bangkit semula

Amat dikenali kerana mempunyai tubuh yang sasa, maskulin dan boleh melakukan pelbagai aktiviti kecergasan setanding lelaki.

Namun, tidak disangka ia adalah simptom Dr Syazana Alia Sabrudin mempunyai kanser adrenal yang jarang berlaku.

Jelasnya, akibat kanser itu menjadikan hormon androgen dan testoren dalam dirinya meningkat secara drastik.

Sekali gus memberi memberi stamina yang cukup baik dalam aktiviti kecergasan.

Bagaimanapun, bagi penghidap kanser adrinal yang tidak menjalankan gaya hidup aktif mereka akan mengalami masalah emosi tidak stabil, tekanan darah tinggi dan kenaikan berat badan yang mendadak.

Katanya, di dalam sejarah keluarga ibu dan datuk adalah pesakit kanser. Jadi dia mengakui berpotensi penyakit sama boleh berlaku ke atas dirinya.

Namun tidak pada usia 33 tahun dah bukan kanser adrenal kerana ia jarang berlaku.

"Pada Disember 2019, saya mengalami sakit perut dan dirujuk ke bahagian kecemasan di hospital. Ketika itu saya disyaki mempunyai ketumbuhan.

"Selepas pembedahan mengeluarkan ketumbuhan berkenaan pada 14 Januari 2020, keputusan biopsi mengesahkan saya menghidap kanser adrenal," katanya.

Jelasnya, cabaran yang paling besar setelah memulakan ubat kemoterapi. Setiap kanser mempunyai rawatan tersendiri.

"Jadi cabaran setiap pesakit kanser berbeza antara satu sama lain. Biarpun saya mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat sebelum ini, saya tetap terkesan secara emosi dan fizikal sepanjang tempoh rawatan.

"Saya mengalami kemurungan yang mengganggu kualiti hidup saya. Jujurnya, saya mengambil masa yang agak lama untuk menerima kenyataan saya seorang penghidap kanser," katanya.

Menurutnya, sebagai pegawai perubatan akhirnya dia mengambil keputusan berjumpa kaunselor dan pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan lanjutan.

"Saya merasa pilih yang tepat untuk berjumpa pakar di dalam kesihatan mental walaupun saya seorang doktor perubatan profesional. Mereka banyak membantu saya. Selain itu, sokongan keluarga dan kawan-kawan amat penting untuk kembali pulih," katanya.

Menurutnya, meskipun kanser memberi kesan kepada mental dan fizikal diri, perkara paling utama adalah menerima kenyataan dan cepat untuk bangkit semula.

Jelasnya lagi, secara jujur ada kala saya merasa kecewa tidak dapat mencapai tahap kecergasan seperti dulu.

Selepas beberapa lama, dia mengubah pemikiran untuk tidak membandingkan tahap kecergasannya sebelum dan selepas sakit.

"Kini saya membandingkan pencapaian saya sejak awal disahkan mempunyai kanser dan sekarang menjadikan diri lebih gembira.

"Saya menanam motivasi setiap langkah dilakukan tiada yang sia-sia di dalam hidup ini tanpa mengira pada peringkat apa apa sekali pun," katanya.

Katanya, jika seseorang itu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif, lebih cepat untuk dia bangkit semula. Sepanjang kita aktif bersukan misalnya, kita melatih ketahanan fizikal dan mental.

"Jadi apabila sakit dan ingin bangkit semula, saya perlu bersabar dan percaya dengan memori otot yang sudah dilatih sebelum disahkan menghidap kanser," katanya.

Tambahnya, selepas dua tahun menjalani rawatan kini sudah tiga tahun dia berstatus pesakit yang tidak mempunyai gejala kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 7:50 AM