SYAIDATUL (kiri) ketika mewakili negara dalam acara boling. ADLI (tengah) Golden Boy angkat martabat sukan tinju menerusi lakonan. ANDY ketika aktif di  pentas  MMA.
SYAIDATUL (kiri) ketika mewakili negara dalam acara boling. ADLI (tengah) Golden Boy angkat martabat sukan tinju menerusi lakonan. ANDY ketika aktif di pentas MMA.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun berbeza skop pekerjaan namun atlet dan artis memiliki satu persamaan iaitu populariti.

Kedua-duanya adalah 'public figure' yang memiliki pengikut tersendiri dan mudah meraih perhatian. Atlet yang beralih arah dari bidang sukan ke bidang seni terutamanya lakonan bukanlah sesuatu yang asing, malah berlaku sejak dulu lagi.

Namun, transisi itu tentunya membawa banyak perbezaan ketara.

Di Malaysia, ada dalam kalangan atlet yang beralih arah dari bidang sukan dan mula mencari rezeki dalam industri seni tanah air.

Antaranya jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor dan pesilat negara, Ruzaidi Abd Rahman yang beralih arah menjadi pelakon.

Terkini adalah atlet boling, Syaidatul Afifah yang kini selesa menyandang gelaran sebagai pelakon dalam beberapa drama tempatan.

Diberikan peluang untuk membintangi drama bersiri Ratu Ten Pin, nama Afifah yang mula diperkenalkan oleh pelakon dan penerbit, Sheila Rusly membuka lembaran baharu buatnya.

"Saya terjun ke dalam dunia lakonan pun bermula dengan peluang yang diberikan oleh Sis (Sheila). Selama 13 tahun saya berada di dalam pasukan kebangsaan, saya tak berpeluang untuk mencuba bidang lain. Jadi, saya cabar diri saya," katanya.

Menurut Afifah, dia bertuah kerana mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada Sheila yang cukup berpengalaman.

"Minat memang ada dan saya rasa tak salah untuk saya cuba. Saya bertuah kerana dapat belajar kelas lakonan secara percuma dengan Sis," katanya.

Ditanya mengenai persiapannya untuk berdepan pelbagai dugaan dalam dunia artis, itu nampaknya bukanlah perkara baharu buatnya.

"Ketika masih bergelar atlet pun, pelbagai dugaan saya terima. Kalau kalah, memang kena kecam. Jadi, saya praktikkan pengalaman yang saya belajar itu secara psikologi. Jadi, saya dah tahu bagaimana nak hadapi dugaan dan cabaran-cabaran itu.

"Saya pernah duduk di kem dalam hutan seorang diri. Jadi, bila saya masuk ke set dan orang beritahu bahawa Sis seorang yang garang, saya terima itu sebagai proses pelajaran.

"Saya pernah kena marah, kena jerit, bahkan dilempang sebab tak dapat dapat menjiwai watak. Tapi, dari situ saya belajar dan tak ambil hati pun," katanya.

Andy Teh anggap bidang sukan dan hiburan tak banyak beza

Bekas atlet bela diri Mixed Martial Arts (MMA), Andy Teh bermula sebagai pelakon iklan sebelum melangkah ke fasa lebih serius.

"Saya bermula sebagai pelakon iklan dan kemudian ditawarkan watak dalam filem Sangkar. Itu menjadi titik permulaan untuk kerjaya lakonan saya.

"Pada saya, dunia atlet dan dunia lakonan lebih kurang sama. Sebagai atlet, menjelang pertandingan, kita kena lakukan persiapan dan latihan. Begitu juga dengan pelakon, kena lakukan persediaan sebelum memulakan kerja lakonan di set," katanya.

Ditanya mengenai gosip dan khabar angin yang sinonim dengan dunia artis, Andy berkata, dia sentiasa melihat perkara itu dari sudut positif.

"Gosip itu hadir dalam bentuk positif dan negatif. Sebagai pelakon dan atlet, saya pandang ia dari sudut positif sebab mulut orang, takkan dapat kita kawal," katanya.

Walaupun tidak lagi aktif bertanding di gelanggang MMA, Andy yang kini dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan MMA Malaysia ingin terus membangunkan sukan itu di Malaysia.

"Saya memang dah tak sertai pertandingan lagi, tetapi saya aktif dalam bidang pembangunan atlet. Beberapa minggu lalu, saya baru saja dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan MMA Malaysia.

"Jadi, matlamat utama saya adalah untuk menggilap bakat-bakat baharu dalam dunia sukan MMA sejak dari bangku sekolah lagi," katanya.

Adli Golden Boy mahu promosikan sukan tinju

Matlamat utama atlet tinju, Adli Golden Boy menceburi bidang lakonan adalah untuk memberi pendedahan lebih terbuka mengenai sukan yang dianggap ganas itu.

"Saya nak buktikan bahawa atlet juga boleh berlakon. Matlamat utama saya adalah untuk mendedahkan mengenai sukan tinju ini kepada dunia terutamanya kepada rakyat Malaysia.

"Saya nak mempromosikan sukan tinju di Malaysia yang mana, boleh kita anggap sebagai sukan yang suram. Sekarang, perlahan-lahan orang dah mula nampak mengenai sukan ini dan jumlah peminat juga semakin ramai. Cumanya, tak banyak platform," katanya.

Jika sebelum ini, dia sentiasa merujuk jurulatihnya sekiranya berdepan apa-apa situasi tak diduga, kini, rujukan utamanya adalah pengurus yang menguruskan kerjaya seninya.

"Kalau bercakap mengenai gosip, dunia atlet pun tak lari daripada perkara itu. Saya dah melalui fasa itu. Tapi, mungkin kerana kurang diberi perhatian, jadi ia tidaklah terdedah sangat.

"Ketika bergelar atlet, saya akan dapatkan khidmat nasihat daripada jurulatih. Jadi, sekarang, saya akan minta tunjuk ajar dan nasihat daripada pengurus saya," katanya.

Di Hollywood turut tidak terkecuali apabila ramai dalam kalangan atlet kini bergelar artis popular.

Dwayne Johnson

Sebelum memulakan karier lakonannya di Hollywood, Johnson atau The Rock cukup popular sebagai ahli gusti di World Wrestling Federation (WWF) dan World Wrestling Entertainment (WWE). Selain itu, Johnson juga pernah beraksi sebagai salah seorang pemain untuk pasukan bola sepak Amerika, Miami Hurricanes.

Arnold Schwarzenegger

Schwarzenegger mencipta nama sebagai atlet kecergasan dan ahli bina badan sebelum terjun ke bidang lakonan dan mula dikenali menerusi filem-filem seperti Conan the Barbarian, The Terminator, Predator, Total Recall dan banyak lagi hingga hari ini.

Caitlyn JennerM

Sebelum dikenali sebagai sebahagian daripada The Kardashians, Jenner atau nama sebenarnya William Bruce Jenner adalah atlet dekatlon Amerika Syarikat yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Montreal, Kanada pada 1976.

Vinnie Jones

Bermula sebagai pemain bola sepak profesional di Liga Inggeris pada 1984 hingga 1999. Jones yang bermain di posisi tengah bertahan pernah mewakili kelab bola sepak ternama seperti Chelsea, Leeds United, Sheffield United, QPR dan Wimbledon. Beliau juga mewakili pasukan kebangsaan Wales.

Antara filem popular lakonannya ialah Gone In 60 Seconds dan X-Men : The Last Stand.

John Cena

Seperti juga The Rock, John Cena bermula sebagai ahli gusti di WWE sebelum beralih ke bidang lakonan.

Antara filem lakonannya ialah Bumblebee, F9, Fast X, Playing With Fire, The Suicide Squad, Barbie, Hidden Strike dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:01 AM