Sasry Ny ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bharu, hari ini. Gambar Hairul Anuar Abd Rahim
Sasry Ny ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bharu, hari ini. Gambar Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani


PEMBANTU kedai kain warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini terhadap empat tuduhan memperdagangkan empat rakan senegara untuk tujuan eksploitasi kerja, antara Julai hingga Ogos lalu.

Tertuduh, Sasry Ny, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Berdasarkan semua tuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan semua mangsa termasuk seorang wanita bagi maksud eksploitasi kerja paksa rakan senegara.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kilang plastik di Taman Perindustrian Pasir Gudang. itu, Sasry didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safaziral Zakaria manakala tertuduh diwakili Varghese Onny.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin, namun terpulang ke mahkamah.

“Ia bukan hak tertuduh untuk mendapatkan jaminan, malah tertuduh dalam kes ini adalah majikan kepada semua mangsa.

“Bagaimanapun, kami memohon mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tuduhan jika dibenarkan ikat jamin selain mematuhi syarat khas termasuk menyerahkan pasport serta melapor diri ke balai polis terdekat dengan penjamin warga Malaysia,” katanya.

Varghese bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.

Menurutnya, anak guamnya sudah berkahwin dengan rakyat tempatan dan mempunyai dua anak dan perlu mahkamah membenarkan jaminan.

“Terdapat empat tuduhan dilakukan pada tempoh dan lokasi sama, justeru pihak pembelaan memohon mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 bagi semua tuduhan,” katanya

Aizatul Akmal bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga meletakkan syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai selain melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan menetapkan kes itu disebut semula pada 11 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:39 PM