Muhamad Lokman Khairi


Cameron Highlands: Seorang penyelia kilang dijatuhkan hukuman sembilan hari penjara dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada dua orang pelayan restoran awal Jun lalu.

Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Qasiratuljannah Usmani Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelayan restoren warga asing, Samir Das bertempat di sebuah restoran di Tanah Rata, di sini 4.20 petang, 4 Jun lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim Faiz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lagi pelayan restoren, V Dennis Pillai, 23, di lokasi dan masa yang sama serta dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Punitha yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain kes ini tular di media sosial, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh menitiskan air mata sewaktu merayu hukuman denda paling minimum memandangkan dia perlu menanggung seorang isteri sarat mengandung yang dijangka bersalin hujung bulan ini selain seorang anak kecil serta membiayai kos rawatan ibunya dengan pendapatan bulanan RM1,500.

MOHAMMAD Zaim dipenjara sembilan hari dua pertuduhan menampar pelayan restoran. FOTO Bernama
MOHAMMAD Zaim dipenjara sembilan hari dua pertuduhan menampar pelayan restoran. FOTO Bernama

Tertuduh juga mengaku insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi di masa hadapan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara sembilan hari dari tarikh tangkapan iaitu semalam dan denda berjumlah RM1,000 setiap pertuduhan.

Jika gagal membayar denda, mahkamah menetapkan tertuduh perlu menjalani penjara tambahan sembilan hari lagi. Isteri tertuduh kemudiannya membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun menetap kedua-dua hukuman penjara itu dijalankan secara serentak.

Pada 9 Jun lalu, penyelia kilang berkenaan dijatuhi hukuman penjara tujuh hari selepas mengakui bersalah mengugut serta mendatangkan kecederaan ke atas seorang pemandu wanita dalam kejadian yang tular di media sosial.

Berikutan video tular itu, terdapat warganet yang mendedahkan bahawa lelaki sama bertindak menampar dua pelayan restoran gara-gara tidak berpuas hati makanan yang dipesan lambat diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 11:53 AM