Zamani hadir pada sidang media Konsert Kasih Pengasih di Auditorium RTM Kuantan, Pahang di Rumah Damai. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Zamani hadir pada sidang media Konsert Kasih Pengasih di Auditorium RTM Kuantan, Pahang di Rumah Damai. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur : Penyanyi popular, Zamani, 53, kini mengalami sakit di bahagian pinggang kerana tidak menjalani rawatan fisioterapi selepas melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang melengkung akibat penyakit skoliosis pada 7 November lalu.

Zamani berkata, akibat kepadatan jadual bekerja, dia tidak dapat mengikuti sesi fisioterapi yang ditetapkan. Selepas pembedahan itu, Zamani sepatutnya menjalani fisioterapi dua kali seminggu.

"Sebenarnya tahap kesihatan saya ada penurunan sedikit kerana saya tidak pergi fisioterapi. Saya sepatutnya buat (fisioterapi) untuk pulih sepenuhnya, tapi saya hanya lakukan selama sebulan setengah dan kemudian saya berhenti," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Pengasih 2023 di Rumah Pengasih, di sini.

Bagaimanapun, menurut Zamani, doktor memaklumkan keadaannya kini semakin baik dan bakal menerima rawatan susulan dalam masa dua minggu.

Katanya, doktor memaklumkan kemungkinan untuk dia bongkok semula tidak ada melainkan dia tidak menjaga kesihatan dengan baik.

"Doktor kata keadaan saya makin pulih dan saya pun yakin. Cuma apabila saya tinggalkan fisioterapi, ia menjadi punca sakit itu datang kembali," katanya.

Bercerita mengenai keadaannya, Zamani berkata, buat masa ini dia masih tidak boleh duduk di lantai atau bersila. Selain itu, dia juga perlu solat dalam keadaan duduk.

Sementara itu, Zamani turut memaklumkan wang bantuan yang diperolehnya sebelum ini masih berbaki separuh dan dia hanya akan menggunakannya untuk tujuan perubatan.

"Saya tidak usik wang itu untuk keperluan sendiri. Amanah orang kan? Saya hanya gunakan untuk tujuan perubatan saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 11:47 AM