PENGURUS Projek Dapur Asnaf, Haliza Abdul Halim (dua dari kiri) memberi duit raya kepada gelandangan di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
PENGURUS Projek Dapur Asnaf, Haliza Abdul Halim (dua dari kiri) memberi duit raya kepada gelandangan di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Golongan gelandangan yang sebelum ini diberi peluang apabila ditawarkan pekerjaan untuk mengubah kehidupan mereka kini dilihat kembali 'menghuni' tempat lama mereka di ibu negara.

Tinjauan Harian Metro mendapati Kota Raya, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Pasar Seni dikenal pasti sebagai lokasi mereka bergelandangan semula selepas 'lari' daripada majikan selain mendakwa ditamatkan pekerjaan.

Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Bob, 40, mendakwa dia terpaksa menjadi gelandangan semula selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat pameran kereta di ibu negara.

Katanya, selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia diambil bekerja oleh syarikat kawalan keselamatan dengan tawaran gaji sebanyak RM1,000 sebulan, tetapi hanya sempat bekerja selama sembilan bulan sahaja.

"Majikan memaklumkan punca saya ditamatkan perkhidmatan disebabkan perniagaan syarikat itu merudum menyebabkan dia hilang punca pendapatan lalu kembali menjadi gelandangan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bob yang berasal dari Kulim, Kedah bagaimanapun tetap mengharapkan akan mendapat pekerjaan bersesuaian dalam masa terdekat.

"Saya terpaksa cari kerja, kalau tidak macam mana saya nak makan? Jika ditawarkan pekerjaan oleh mana-mana pihak, saya berazam akan bekerja bersungguh-sungguh kerana tidak mahu menjadi gelandangan semula.

"Usia saya bukan lagi 20, 30 tahun...saya pun sudah tua dan bukan nak kerja main-main," katanya yang kini mengharapkan pemberian makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Gelandangan lain yang mahu dikenali sebagai Ali, 35, berkata, punca dia menjadi gelandangan semula disebabkan 'lari' daripada majikannya.

Katanya, dia mengambil tindakan berkenaan kerana menyifatkan pekerjaannya sebagai operator pengeluaran kilang tidak bersesuaian dengan jiwanya.

"Saya hanya bekerja selama tiga bulan di sana. Saya rasa tidak sesuai bekerja di situ," katanya.

Pada masa sama, Ali turut membandingkan pekerjaan sebagai operator pengeluaran kilang dengan gelandangan.

"Saya jadi gelandangan pun boleh memperoleh sumbangan makanan setiap hari daripada NGO yang datang," katanya.

Bagi Rizuan, 27, dia hanya sempat bekerja selama tujuh bulan selepas PKP sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta sebelum ditamatkan perkhidmatan.

Katanya, dia ditugaskan untuk menjaga sebuah bangunan di Jalan Tun Razak dan mendapat gaji RM2,800.

"Bangunan itu pula selepas kami bekerja, mereka mahu ubah suai menyebabkan ada dalam kalangan kami ini dibuang kerja termasuklah saya.

"Itu yang menyebabkan saya menganggur dan menjadi gelandangan semula," katanya.

Pada April 2020, dilaporkan kira-kira 800 gelandangan yang berada di pusat penempatan sementara sepanjang PKP ditawarkan peluang pekerjaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa ketika itu berkata, pihaknya akan menjalankan proses saringan sepanjang tempoh PKP ke atas gelandangan yang sihat tubuh badan dan berkeupayaan untuk bekerja sebelum diberi latihan.

Segelintir gelandangan mula 'buat hal' bila dah dapat duit

Majikan yang pernah mengambil gelandangan bekerja sewaktu Covid-19 mendedahkan rata-rata mereka ini 'lari' selepas mendapat gaji buat pertama kali.

Pengurus sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan, Mat Zaki Yaacub berkata, ada dalam kalangan gelandangan juga menghilangan diri sebaik mereka memperoleh wang pendahuluan selepas dua minggu bekerja dengannya

"Biasanya dia (gelandangan) tunggu gaji. Ada yang sebulan dan ada yang dua minggu. Setiap dua minggu atau pertengahan bulan, saya akan beri advance kepada sesiapa yang nak guna duit.

"Saya beri duit advance RM100 atau RM200 pun dia boleh 'lari'," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mat Zaki berkata, terdapat beberapa punca mereka berhenti kerja dan kemudian menjadi gelandangan semula seperti sebelum ini.

Menurutnya, antara puncanya adalah kebanyakan gelandangan ini adalah penagih dadah.

"Mereka yang ada masalah dadah ini yang 'lari'. Bila dia sudah ada duit dan boleh berdikari, dia 'lari'," katanya.

Katanya, punca lain pula adalah disebabkan kes mencuri barang milik rakan sekerja yang lain.

"Gelandangan ini saya letak mereka di hostel. Bila berada di hostel itu, mereka akan bercampur dengan golongan yang bukan gelandangan.

"Bila dia mencuri barang kawan-kawan lain, dia akan lari selepas itu," katanya yang mengambil lebih 10 orang gelandangan semasa Covid-19 untuk bekerja dengannya.

Bagaimanapun, katanya, ada dalam kalangan gelandangan yang diambil juga masih bekerja dengannya sehingga kini.

"Saya ambil pekerja ini tidak kira (latar belakang). Asal yang nak bekerja. Tapi kalau ada masalah keluarga, dia tidak akan lari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 12:00 PM