Irwan Shafrizan Ismail dan Zanariah Abd Mutalib


SIKAP rakyat Malaysia sendiri menjadi punca kebanjiran pekerja asing ke negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap rakyat yang tidak mahu membuat kerja tertentu walaupun mereka sebenarnya mampu melakukannya sendiri menyebabkan peluang pekerjaan direbut pekerja asing.

“Akhirnya, mereka akan menjadi kaya dan kita pula kekal atau menjadi miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sedar akan kebimbangan rakyat berhubung kebanjiran pekerja asing di dalam negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan pekerja asing yang diambil benar-benar diperlukan sektor yang kurang sambutan pekerja tempatan seperti sektor 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).

“Ingin saya tekankan bahawa dasar kerajaan amat jelas bahawa keutamaan pekerjaan di Malaysia adalah kepada warganegara,” katanya.

Ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir berkata, pengambilan ramai pekerja asing juga akan menyebabkan pengaliran keluar wang ke luar negara.

“Kalau mereka (rakyat) tidak kerja, orang lain kerja duit kita mengalir ke luar negeri, kita jadi miskin dan orang yang tidak kerja tidak dapat pendapatan.

“Kita juga tidak boleh bagi duit percuma (kepada rakyat) macam dahulu,” katanya.

Ditanya sama ada tawaran gaji rendah menyebabkan pekerja tempatan enggan bekerja di sektor 3D, Perdana Menteri berkata, perbandingan gaji tidak wajar dibuat kerana yang penting adalah mempunyai pekerjaan dan mendapat gaji.

“Gaji rendah, tapi kalau tidak kerja tidak ada gaji langsung, kalau kerja dapat gaji.

Kita tidak boleh bandingkan, tapi kita kena ingat bekerja untuk negara, untuk majukan negara, kalau kita tak nak kerja, orang lain dapat duit, kita yang rugi,” katanya.

Lebih 5,000 yang terdiri pekerja di dalam perkhidmatan awam dan swasta hadir memeriahkan sambutan Hari Pekerja Tahun 2019 itu yang pertama kali disambut di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 3:28 PM