KAWASA N Hutan Simpan Ulu Jelai yang diteroka secara haram dijadikan tapak mencari galian dipercayai unsur nadir bumi.
KAWASA N Hutan Simpan Ulu Jelai yang diteroka secara haram dijadikan tapak mencari galian dipercayai unsur nadir bumi.
Mohd Rafi Mamat


Lipis: Cubaan membuka lombong bagi mendapatkan galian dipercayai unsur nadir bumi (REE) secara haram menggunakan kaedah tujuh kolam tanah di Kompatmen 411, Hutan Simpan Ulu Jelai, di sini berjaya dipatahkan oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, kelmarin.

Perjalanan sejauh tujuh kilometer melalui jalan balak anggota Unit Penguatkuasa PHD Lipis menemui kawasan lombong haram seluas 0.28 hektar dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden bagi melancarkan lagi aktiviti menyalahi undang-undang itu.

Pegawai Hutan Daerah Lipis Mohd Aizat Arippin berkata, serbuan jam 10 pagi dilakukan sepasukan 21 anggota Unit Penguatkuasa PHD Lipis dibantu lima anggota Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Pahang Barat dan polis selepas rondaan dan tinjauan menggunakan dron.

Katanya, pihaknya berdepan cabaran apabila perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh tujuh kilometer untuk sampai ke kawasan terbabit dari Jalan Pos Betau-Cameron Highlands.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan berbukit dan bertanah merah itu, pihaknya menemui tujuh kolam sedia digunakan dipercayai sebagai, penapis selain untuk mengasingkan REE.

TEKNIK melombong menggunakan kolam dan bahan kimia  untuk mendapatkan unsur nadir bumi amat terkenal di China.
TEKNIK melombong menggunakan kolam dan bahan kimia untuk mendapatkan unsur nadir bumi amat terkenal di China.

"Ini kali kedua kami temui aktiviti melombong menggunakan kolam sistematik dipercayai bagi mendapatkan galian REE dalam tanah di kawasan terbabit, kes pertama Ogos tahun lalu di kawasan hutan simpan sama.

"Difahamkan teknik melombong menggunakan kolam dan bahan kimia lebih berkesan bagi mendapatkan REE dalam jumlah banyak pada satu-satu masa dan penggunaan kaedah itu amat terkenal di China," katanya.

Beliau menambah, dipercayai ada 20 hingga 25 individu dipercayai kebanyakan warga China 'bekerja' di kawasan itu namun mereka terlebih dahulu sudah melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

Mohd Aizat berkata, pemeriksaan menemui pondok berdinding kanvas dijadikan sebagai makmal, selain dua unit enjin janakuasa elektrik berkuasa 2,500 kilowatt bersama sistem agihan kuasa menggunakan kabel elektrik bermutu tinggi.

Katanya, turut disita jengkaut dan pelbagai peralatan digunakan untuk mengepam air, bahan kimia, penapis dan beberapa khemah menempatkan peralatan terbabit yang sediakan digunakan.

"Siasatan awal percaya pihak terbabit dengan kegiatan haram ini sanggup keluarkan modal besar bagi menjayakan misi mereka.

"Boleh dikatakan kita bernasib baik kerana kesan kegiatan haram sebelum beroperasi sepenuhnya. Mereka di peringkat awal apabila hanya sempat bina enam kolam sambil menempatkan pelbagai peralatan yang akan digunakan.

"Selain menyita pelbagai peralatan, jentera dan barangan dalam kawasan terbabit, kita juga menimbus semua kolam," katanya.

Tegasnya lagi, kegiatan melombong REE secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai yang dikesan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar berikutan penggunaan bahan kimia, tetapi mengundang kepada hakisan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984. Semua barang sitaan dihantar ke Stor Barang Sitaan Batu 18, Tersang.

"Kita akan teruskan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai dan beberapa hutan simpan lain di daerah ini.

"Di sini saya menyeru masyarakat setempat termasuk Orang Asli supaya memberi maklumat kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan di daerah ini," katanya.

Sementara itu Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd berkata, pihaknya akan melantik penyiasat untuk mengesan dalang kegiatan itu.

"Walaupun gagal menahan individu terbabit ketika serbuan dilakukan namun kita percaya dengan rampasan pelbagai peralatan, usaha mengesan mereka yang terbabit dapat dilakukan.

"Jabatan memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan bagi tujuan memindahkan apa juga bahan galian termasuk balak, tindakan tegas menanti mereka hingga mengheret ke muka pengadilan. Hukuman di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak terbabit," katanya.

PONDOK berdinding kanvas dijadikan makmal.
PONDOK berdinding kanvas dijadikan makmal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:27 PM