TN Alagesh

Kuantan: "Jika tidak untuk saya, sekurang-kurangnya bantulah kucing saya yang perlukan makanan sempurna dan perubatan," kata Siti Endon Ismail, 58.

Penghibur maskot di pantai Teluk Cempedak itu, kini terpaksa menaikkan bendera putih dan merah di pagar rumahnya di Kubang Buaya, selepas hilang punca pendapatan sejak penularan Covid-19 dan simpanan sedia ada semakin kering.

Katanya yang memelihara 100 kucing jalanan, dia tiada pilihan dan terpaksa menebalkan muka menaikkan bendera itu supaya ada pihak yang prihatin dapat mengurangkan beban ditanggung.

Ibu tunggal itu memberitahu, tidak tahu bagaimana caranya untuk memberi makan semua kucingnya yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Covid-19 dan PKP ini sangat memberi kesan kepada saya. Saya tidak mampu lagi untuk membeli makanan kucing, membawa ia ke klinik jika sakit malah, saya tidak lagi ke Teluk Chempedak untuk menghiburkan orang kerana pantai ditutup.

"Sudah bertahun saya menyara hidup dengan memakai maskot Hello Kitty, Doraemon, Snow White dan beruang di pantai, saya tidak tahu sama ada saya mampu buat kerja lain.

"Menjadi penghibur kostum sangat dekat di hati saya dan saya gembira melakukannya," katanya yang memberitahu ada merancang untuk menjual lemang tetapi tidak yakin ia berhasil.

SITI Endon ketika ditemui di rumahnya di Kubang Buaya. FOTO Farizul Hafiz Awang
SITI Endon ketika ditemui di rumahnya di Kubang Buaya. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kebelakangan ini, Siti Endon berkata, dia menghabiskan masanya dengan menjahit, mengubah suai dan membasuh kostum maskotnya, malah sangat jarang keluar rumah.

Cuma simpanan yang menyusut dan kehabisan makanan sangat merunsingkan dirinya.

Katanya, ramai penghibur kostum di pantai itu sudah beralih dengan melakukan pekerjaan lain demi kelangsungan hidup dan mereka tidak pasti sama ada Teluk Cempedak akan kembali meriah seperti sebelum ini.

Menyewa sebuah rumah di Kubang Buaya, Siti Endon berkata, sejak Mac tahun lalu, rakyat Malaysia yang murah hati banyak membantunya menyara diri dan kucing peliharaan.

"Ramai orang tanpa mengira bangsa datang membantu dan ada yang ziarah saya untuk menolong apa yang patut. Saya diminta keluar dari rumah sewa sebanyak dua kali sejak tiga tahun lalu, disebabkan ada pihak yang tidak selesa dengan kucing saya.

"Saya sedang mencari rumah dan kawasan sesuai untuk kucing apabila tuan rumah meminta saya berpindah. Jadi kini saya tinggal di Kubang Buaya tetapi kasihan kerana kucing terpaksa 'berkurung' dalam rumah sahaja.

"Rumah ini dekat dengan jalan utama yang sesak," katanya yang menerima bantuan RM300 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 5:19 PM