ZUL Yahya.
ZUL Yahya.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya okey, tak ada apa sebenarnya. Alhamdulillah."

Itu jawapan ringkas bekas pelakon, Zul Yahya, 50, menerusi kiriman WhatsApp berhubung keadaannya sekali gus menafikan dakwaan mengatakan dia berdepan masalah dan perlu dibantu seperti dalam video dimuat naik pemilik akaun Tik Tok, @zackpulaumutiara8.

Bagaimanapun, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Yahya tidak mengulas mengenai dakwaan dia dikatakan keluar berjalan dari jam 4 pagi hingga 8.30 pagi dan tidak pulang-pulang.

Zul yang cuba dihubungi Harian Metro menerusi panggilan telefon dan kiriman mesej di WhatsApp sejak semalam bertindak berdiam diri sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Cuma, pada 2 pagi hari ini, Zul muncul dalam siaran langsungnya di TikTok yang difahamkan berdiskusi dengan seorang tokoh agama.

Malah, kebanyakan pelayar yang menyaksikan kemunculan Zul di platform media sosial itu memaklumkan dia nampak sihat serta tiada apa yang pelik cuba ditunjukkannya.

"Okey saja tengok dia. Kelihatan baik-baik. Tak nampak ada masalah pun," tulis seorang pelayar lagi.

"Biasalah cari ketenangan berjalan. Dia cakap yang Allah beri peringatan. Semua okay je," komen seorang pelayar Tik Tok yang mengikuti siaran langsung itu.

Terdahulu, Harian Metro menerusi hantaran video dibuat pemilik akaun Tik Tok, @zackpulaumutiara8 melaporkan Zul dikatakan berhadapan masalah dan memerlukan bantuan selepas berjalan kaki dari 4 pagi hingga 8.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 4:26 PM