Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah pengangguran akibat kekurangaan peluang pekerjaan di samping pengeluaran lepasan universiti secara 'berlebihan' oleh institusi pendidikan tinggi tempatan.

Untuk rekod, secara purata, 224,000 graduan dilahirkan pada setiap tahun berbanding penawaran kerja berkemahiran tinggi hanya 127,000.

Oleh itu, bakinya iaitu lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah untuk memasuki alam pekerjaan akibat kekurangan penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mendedahkan bahawa secara purata, ada 224,000 graduan lepasan universiti setiap tahun sekali gus mewujudkan persaingan sengit untuk memasuki alam pekerjaan.

Kajian itu juga menyatakan bahawa penciptaan pekerjaan oleh ekonomi negara ini adalah sekitar 258,000 sehingga 326,000 merangkumi pekerjaan mahir, separa mahir dan berkemahiran rendah.

Daripada jumlah itu, pekerjaan berkemahiran tinggi yang khusus untuk graduan lepasan universiti adalah 127,000 saja.

Manakala 198,000 adalah pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, isu utama yang membelenggu graduan adalah ketidakpadanan pekerjaan di antara kelayakan yang mereka peroleh dengan pekerjaan yang mereka lakukan dalam ekonomi.

"Daripada aspek sisi permintaan, industri di Malaysia secara keseluruhannya lebih banyak menggaji pekerja separa mahir (semi-skilled) dan berkemahiran rendah (low-skilled) berbanding dengan berkemahiran tinggi (high-skilled).

"Secara puratanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia mencipta 39 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi dan selebihnya 61 peratus pekerjaan berkemahiran rendah dan separa mahir.

"Dalam tempoh 1990 sehingga 2000, purata penciptaan pekerjaan untuk berkemahiran tinggi dianggarkan sekitar 127,000 setahun manakala 198,000 lagi adalah untuk pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah," katanya.

Beliau berkata, pekerjaan yang berkemahiran tinggi adalah berpadanan dengan graduan yang memiliki pendidikan diploma dan ke atas.

Menurutnya, secara purata, 224,000 graduan memasuki pasaran buruh setiap tahun dengan penciptaan pekerjaan sekitar 127,000 setahun berbanding dengan 224,000 bilangan graduan, maka terdapat lebihan graduan dikeluarkan oleh institusi pendidikan.

"Daripada perspektif penawaran, kemahiran yang diperoleh oleh graduan dari institusi pendidikan sebahagian besarnya tidak memenuhi kehendak pasaran.

"Sebahagian graduan perlu melalui proses latihan semula oleh industri dan pusat latihan bagi memastikan kemahiran mereka dapat memenuhi tuntutan kerja di industri.

"Justeru, pembaharuan dan transformasi kaedah pengajian di institusi pendidikan perlu dikaji semula. Wujud keperluan kepada perubahan pendekatan daripada supply-driven kepada demand-driven," katanya.

Mengulas berhubung penawaran jurusan yang tidak relevan di institusi pengajian tinggi, Yusof berkata, penawaran program di universiti perlu disemak semula bagi memastikan kesejajaran antara pengeluaran output (graduan) institusi pengajian tinggi dan permintaan oleh industri.

Menurutnya, struktur program pengajian perlu menekankan kepada pendekatan demand-driven bagi memastikan pembabitan dan sinergi industri yang lebih kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 7:01 AM