Zaara Talita


IMPAK naskhah yang berkualiti memberikan kesan yang mendalam sehinggakan karakter yang digalas seperti sinonim dengan pelakon itu sendiri.

Tidak ralat biarpun sering dibayangi penampilannya dalam filem Tentang Bulan, pelakon Aedy Ashraf berkongsi sudah menginjak ke usia 30 pada tahun ini.

Malah, dia juga sudah selesa membawakan watak bapa muda atau suami sebagai peralihan proses dalam industri seni tempatan.

Tidak hanya terikat dengan karakter atau imej yang sama saja, Aedy menganggap proses terbabit turut mematangkan kerjaya lakonannya.

"Saya pernah menerima nasihat daripada Beto Kusyairy untuk tidak terlalu awal membawakan watak bapa. Malah, jika diikutkan dia pun tidak pernah menerima tawaran melakonkan watak bapa.

"Tipulah tidak takut setelah menerima nasihat sebegitu, namun saya cuba mengambil risiko dan gembira dengan watak yang dijayakan.

"Malah, naskhah terbabit turut menerima pujian dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Sekiranya masih ada yang melihat saya sebagai watak dalam Tentang Bulan, saya tidak dapat menggubah persepsi itu.

SEDIA galas watak keluar dari zon selesa.
SEDIA galas watak keluar dari zon selesa.

"Mungkin juga filem terbabit begitu baik sehingga memberikan impak kepada penonton dan peminat," kata Aedy.

Mula berlakon sejak berusia 10 tahun, masih ramai yang tidak dapat menerima Aedy melakonkan watak dalam drama Kerana Cinta Itu Ada yang bersiaran pada tahun lalu.

Sering terpalit kontroversi menafikan dakwaan dirinya sombong apabila cenderung memilih berdiam diri dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Aedy memilih berdiam diri berikutan pengajaran ditimba sejak mula terbabit dalam dunia seni.

AEDY bijak meletakkan noktah perkara yang mengganggu fikirannya.
AEDY bijak meletakkan noktah perkara yang mengganggu fikirannya.

"Sebenarnya, terpulang apa yang orang hendak cakap. Saya tahu, orang yang kenal dan rapat dengan saya, dia tahu siapa saya.

"Sifat sombong itu sangat jauh dari diri saya. Tiada sebab saya hendak sombong sebab saya tahu dari mana saya datang dan di mana saya sekarang," katanya.

Apabila diajukan mengenai pendekatan yang diambil setiap kali terpalit kontroversi, Aedy enggan mengeruhkan keadaan dengan memberikan jawapan salah.

"Itu pilihan saya. Bagi saya, lebih baik berdiam diri daripada kita bercakap benda yang kita tidak tahu hendak cakap.

"Sebab kadang-kadang, kita tidak tahu apa nak jawab, jadi berdiam diri adalah pendekatan terbaik untuk sesetengah situasi (silent is the best treatment).

"Untuk saya begitulah... Saya tidak tahu orang lain bagaimana pula sebab lain orang, lain pendapatnya," kata Aedy ketika ditemui pada majlis pra pelancaran dan sidang media Absolut Bazar X Festival Gaya Raya 2023 (ABXGR23) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

ABXGR23 yang menawarkan peluang kepada orang ramai membeli-belah selama 66 jam tanpa henti untuk persediaan menyambut kedatangan Syawal akan berlangsung pada 14 hingga 17 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:01 AM