Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini, melanjutkan tempoh perintah reman lima suspek kes dera kanak-kanak empat tahun di Senggarang, bermula esok sehingga 7 Januari ini.

Majistret Zubaidah Mahat membenarkan permohonan sambungan reman oleh Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Shafiq Mohd Salleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat terhadap suspek termasuk suami isteri.

Terdahulu, semua suspek yang berumur antara 15 hingga 37 tahun berkenaan tiba di perkarangan Mahkamah Batu Pahat kira-kira 8.30 pagi dengan diiringi polis.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor selepas pengsan di sebuah rumah di Senggarang, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan punca kematian kanak-kanak malang itu akibat hentakan objek keras dan tumpul.

MAHKAMAH Majistret Batu Pahat melanjutkan tempoh perintah reman lima suspek kes dera kanak-kanak empat tahun di Senggarang, bermula esok sehingga 7 Januari ini. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
MAHKAMAH Majistret Batu Pahat melanjutkan tempoh perintah reman lima suspek kes dera kanak-kanak empat tahun di Senggarang, bermula esok sehingga 7 Januari ini. FOTO Mohamad Fahd Rahmat

"Pada awalnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kamarul Zaman berkata, semua suspek iaitu kakak kandung mangsa dan rakan kakaknya direman tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 11:04 AM