RAMLAH Ram cari budak perempuan pernah genggam erat tangannya penghujung tahun 90-an.
RAMLAH Ram cari budak perempuan pernah genggam erat tangannya penghujung tahun 90-an.
Norhayati Nordin

SETIAP insan pasti ada kenangan istimewa dalam hidup mereka, sama ada ketika di alam persekolahan ataupun sewaktu bekerja.

Tatkala mengenangnya, perasaan bercampur-baur. Ada gembira, sedih, gementar, ralat dan sebagainya kerana masa yang berlalu takkan berulang.

Berkongsi kenangan Ramadan penyanyi Ramlah Ram, berkata dia amat merindui suasana berbuka puasa di hotel yang meraikan keluarga asnaf, anak-anak yatim atau ibu tunggal.

Ujarnya, dia pernah terkesan dengan sikap seorang anak yatim yang ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor, sekitar hujung 1990-an lalu.

"Apa yang saya tak boleh lupa sampai sekarang mengenai kanak-kanak perempuan itu, adalah pegangan eratnya pada tangan saya yang langsung tak mahu dilepaskan.

"Walaupun ada kakaknya ketika itu, tak dihiraukan dan dia pegang terus tangan saya dengan raut wajah sedih. Apa yang saya ralatkan ialah tidak cuba menyelami perasaan hati kanak-kanak berkenaan.

"Saya biarkan dia pegang tangan, tapi memang tak terfikir langsung nak bertanya kepadanya kesedihan dirasai. Cuma, saya difahamkan kanak-kanak itu kehilangan ibu sewaktu melahirkannya," katanya.

Menurut Ramlah lagi, dia ada juga berusaha menjejaki kanak-kanak terbabit, namun tiada rezeki bertemu. Katanya kenangan sikap kanak-kanak itu terus mencengkam hati.

"Hingga kini, setiap kali Ramadan saya akan mengingati kanak-kanak itu walaupun saya tahu sekarang dia sudah besar dan usianya pun sekitar 20-an. Malah, saya juga tak pasti dia ingat saya atau tidak.

"Apapun, saya tetap mendoakan kebaikan buatnya walau di mana dia berada. Tapi, mana tahu juga kalau ada rezeki saya dapat bertemu dengannya suatu hari nanti," katanya.

MUAZ Fitri.
MUAZ Fitri.

Balik kampung jumpa rakan

Bagi pelakon drama Takdir Yang Tertulis, Muaz Fitri, memori indah zaman kanak-kanaknya adalah kegembiraan bermain bersama rakan-rakan sebaya di kampung.

Ujarnya, rasa rindu nak balik kampung datuk dan nenek setiap kali Ramadan adalah berjumpa rakan dan bermain dengan mereka. Pelbagai permainan yang kami mainkan bersama.

"Saya bersyukur dan gembira kerana zaman kanak-kanak dilalui tanpa gadjet. Saya bermain dengan rakan sepuas- puasnya di luar rumah, berlari sana sini dan berkejaran sesama sendiri.

"Bagi saya, zaman kanak-kanak saya dahulu sangat sempurna. Termasuk, setiap malam ke masjid solat terawih bersama ayah. Kenangan Ramadan saya biasa sahaja kerana dikelilingi keluarga," katanya.

Menurut Muaz lagi, membesar dahulu dan sekarang sangat berbeza. Apapun, ujarnya dia sangat seronok membesar bersama rakan di kampung yang persahabatannya sangat rapat umpama bersaudara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:40 AM