AMIRUL (duduk kanan) bersama kru drama Falah.
AMIRUL (duduk kanan) bersama kru drama Falah.
Norhayati Nordin


NAMA Amirul Haswendy Ashari bukan asing dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, termasuk industri seni tanah air.

Ini kerana, dia pernah bekerja di TV9 dan sebagai wartawan hiburan di Harian Metro.

Walaupun sudah 'angkat kaki' dan menamatkan karier kewartawanan pada 2019, namun Amirul tetap bergerak aktif dalam penulisan skrip filem, drama, telefilem dan teater bersama beberapa produksi tanah air.

Amirul yang ditemui baru-baru ini di lokasi penggambaran drama pendek, Falah arahan pertamanya berkata, cinta mendalam terhadap bidang seni membuatkan dia sentiasa berkarya menulis skrip.

"Alhamdulillah syukur, sekarang saya berpeluang mengarahkan sendiri skrip drama yang ditulis iaitu Falah. Bagi saya, rezeki mencuba nasib sebagai pengarah ini amat bermakna walaupun masih menimba pengalaman.

"Ilham untuk saya menghasilkan kisah drama pendek Falah ini tercetus daripada pengalaman lalu ketika terbabit dalam kerja kebajikan bersama orang kurang upaya (OKU).

"Jadi, apabila TV Alhijrah (TVAH) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi tanggungjawab untuk menghasilkan Falah, saya terus terimbau pengalaman lama itu," katanya.

Menurut Amirul, kecekalan hati dan ketabahan ditunjukkan golongan OKU dalam menjalani kehidupan cukup membuka matanya untuk mensyukuri setiap ujian dan dugaan yang datang, termasuk memahaminya sebagai rahmat dan bukan musibah.

AMIRUL (kiri) pertama kali diberi peluang mengarahkan drama pendek.
AMIRUL (kiri) pertama kali diberi peluang mengarahkan drama pendek.

Mengulas juga bentuk cabaran dialami dalam menghasilkan Falah, Amirul berkata, tempoh menyiapkan karya ini yang agak singkat kerana dia diberi masa tiga hari untuk menyiapkan penggambaran, diikuti tiga hari lagi untuk proses suntingan.

"Sesudah kerja suntingan selesai, produk drama pendek lima minit berjudul Falah ini perlu dipersembahkan kepada ahli jawatankuasa acara dari TVAH dan Jakim untuk penilaian akhir sebelum dipertontonkan kepada umum.

"Syukur saya bekerja dengan pasukan produksi dari TVAH yang mantap dan berpengalaman, lantas membuatkan pembikinan Falah sangat mudah serta tidak banyak isu yang perlu diperbaiki," katanya.

Menurut Amirul, Falah dijangka bakal ditayangkan sempena sambutan Maulidur Rasul yang diyakini memberi impak tersendiri kepada masyarakat.

GANDINGAN mantap Amar dan Amyra sebagai watak suami isteri dalam Falah.
GANDINGAN mantap Amar dan Amyra sebagai watak suami isteri dalam Falah.

Falah mengangkat kisah seorang kanak-kanak yang mempunyai masa depan cerah, namun tiba-tiba disahkan menghidap Retinitis Pigmentosa, sejenis penyakit jarang dijumpai yang berpunca daripada faktor genetik dan kerosakan retina serta akhirnya menyebabkan pesakit menjadi buta.

Falah menampilkan pelakon berkaliber tanah air iaitu Amar Baharin, Amyra Rosli serta pelakon cilik, Aiman Badrul, Ewan Mohamad dan dibantu beberapa pelakon lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:20 AM